Orang Asli Kelantan desak Putrajaya tangani isu kemusnahan alam sekitar


Aminah Farid

Wakil Orang Asli Gua Musang menyerahkan memorandum mengenai penebangan hutan dan kesannya kepada masyarakat, kepada perdana menteri, hari ini di Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 11 Januari, 2022.

MASYARAKAT Orang Asli di Kelantan hari ini menuntut Putrajaya mencari penyelesaian terhadap pencerobohan hidupan liar di kampung mereka susulan aktiviti penebangan hutan kemusnahan habitat haiwan.

Wakil komuniti yang diketuai peguam hak asasi manusia Siti Kasim, hari ini menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Seorang daripada kumpulan itu, Dendi Johari, 30, berkata terdapat dua serangan harimau di kampungnya dalam tempoh enam bulan. Seorang daripada mangsa maut dibaham harimau di Kampung Sau, Pos Bihai.

Sejak 2017, sekurang-kurangnya empat serangan binatang liar berlaku di beberapa perkampungan Orang Asli di Kelantan.

Dendi berkata setakat ini tiga ekor harimau dikesan di sekitar beberapa kampung di Gua Musang. Laporan dibuat kepada Jabatan Hidupan Liar, yang menurutnya masih belum menjawab aduan itu.

Beliau berkata gajah liar juga masuk ke kampung.

“Ini sangat mengganggu kehidupan seharian kami dan penduduk kampung hidup dalam ketakutan dengan binatang liar,” katanya.

Dendi berkata penduduk kampung tidak menyalahkan haiwan tetapi kerajaan membenarkan hutan dimusnahkan dengan pembalakan, perlombongan, bercucuk tanam dan pembinaan empangan.

“Haiwan itu tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka hilang tempat tinggal dan terpaksa ke tempat lain. Malangnya, mereka tersesat masuk ke kampung kami,” katanya.

Dendi berkata pegawai jabatan hidupan liar dan taman negara juga tidak menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.

“Dalam penemuan terbaru tiga ekor harimau, mereka tidak bertindak dengan cara sepatutnya, Perhilitan sebaliknya membakar mercun untuk menakutkan harimau,” katanya.

Kumpulan itu berkata kerajaan mesti mencari penyelesaian untuk menangani masalah haiwan liar di kampung mereka.

“Kami mendesak Putrajaya bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian bagi menghentikan pembalakan, pertanian dan perlombongan,” kata Dendi.

“Kami mengesyorkan kerajaan negeri diberi bayaran royalti minyak supaya ia tidak perlu bergantung kepada aktiviti sebegini untuk memperoleh pendapatan.”

Kumpulan itu juga menuntut kerajaan pusat membatalkan projek empangan hidroelektrik di Nenggiri, yang merupakan antara penempatan Orang Asli tertua dan juga kaya dengan flora dan fauna.

Mereka berkata Nenggiri adalah habitat hidupan liar yang terkenal dan meneruskan empangan itu bermakna lebih banyak pencerobohan hidupan liar di perkampungan Orang Asli di sana.

“Kami berharap kerajaan akan menyiasat isu ini dan mencari jalan penyelesaian kerana satu nyawa sudah pun terkorban.” – 11 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen