Kenyataan 6 ahli lembaga LPPR dibuat tanpa saya, kata Abu Zahar


Ravin Palanisamy

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Abu Zahar Ujang hari ini membidas enam ahli lembaganya kerana mengeluarkan kenyataan bercanggah dengannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 11 Januari, 2022.

PENGERUSI Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abu Zahar Ujang mendakwa enam ahli lembaga tersebut mengeluarkan kenyataan membelakanginya walaupun pertemuan tertutup dijadualkan pada 11 Januari.

Abu Zahar berkata beliau telah berbincang mengenai pertemuan itu melalui WhatsApp pada 7 Januari, dan setuju untuk berjumpa pada 11 Januari seperti yang dicadangkan oleh ahli lembaga pengarah,

Bagaimanapun, katanya, mereka telah mengeluarkan kenyataan sendiri tanpa beliau lebih awal pada 8 Januari.

“Saya perlu nyatakan perasaan dukacita saya dengan kenyataan media 8 Januari 2022 yang dikeluarkan oleh kesemua enam rakan anggota LPPR,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Minggu lalu, enam ahli lembaga penasihat SPRM iaitu Ismail Omar, Azman Ujang, Akhbar Satar, Hamzah Kassim, David Chua Kok Tee, dan Prof Mohammad Agus Yusoff menjauhkan diri daripada keputusan Abu Zahar yang membersihkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki daripada salah laku, berkata mereka tidak berkongsi pandangan dengan pengerusi LPPR itu.

Sebelum sidang media dimulakan, Abu Zahar berkata beliau tidak akan mengambil sebarang soalan daripada petugas media.

Abu Zahar dalam sidang media pada 5 Januari berkata Azam Baki telah memberikan penjelasan mengenai perkara itu dalam mesyuarat yang diadakan pada 24 November 2021 dan ketua pesuruhjaya SPRM itu bersih daripada sebarang salah laku.

Azam Baki berkata pembelian saham itu dibuat oleh adiknya, Nasir Baki, menggunakan akaun dagangan Azam Baki. Saham itu kemudiannya dipindahkan kepada Nasir.
 
Keenam-enam ahli lembaga pengarah LPPR itu kemudiannya menjauhkan diri daripada tindakan Abu Zahar itu.

Mengulas dan memperincikan perbualan yang berlaku, Abu Zahar berkata beliau menerima mesej daripada Azman pada pukul 6.19 petang 7 Januari, dua hari selepas sidang media dengan mengatakan “isu itu semakin hangat”.

Pada pukul 6.22 petang, Chua membalas mesej Azman dengan berkata, “LPPR perlu berjumpa dan bincang perkara ini dengan segera serta keluarkan kenyataan yang jelas untuk menyatakan pendirian LPPR pada awal minggu depan. Berdiam diri bukan satu pilihan”.

Lima minit kemudian pada 6.27 petang, Abu Zahar berkata Ismail kemudian menghantar mesej dan mengesahkan pertemuan itu pada 11 Januari.

“Ya. Kita akan bertemu pada 11 Januari. Perlu tangani isu-isu yang berkaitan,” menurut mesej itu.

Abu Zahar berkata berdasarkan pandangan dan permintaan mereka, beliau bersetuju untuk mengadakan mesyuarat tertutup dengan ahli lembaga pengarah pada pukul 10 malam 11 Januari (hari ini).

“Tiba-tiba pada tarikh 8 Januari 2022, saya dapati kesemua enam ahli LPPR tersebut telah mengadakan mesyuarat diantara mereka terlebih dahulu tanpa memberitahu saya, dan mereka telah mengeluarkan kenyataan media,” katanya.

Abu Zahar berkata, beliau sedia memberi kerjasama sekiranya mana-mana badan atau pertubuhan ingin menyiasatnya berhubung perkara ini. – 11 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen