Malaysia berlebih-lebihan sekat perjalanan umrah, kata jemaah


Mohd Farhan Darwis

Pihak berkuasa Arab Saudi mengenakan peraturan ketat mengekang penularan wabak Covid-19, kata bekas Adun Penawar Dr Mohamed Azam Rauzan. – Gambar AFP, 12 Januari, 2022.

PUTRAJAYA “berlebih-lebihan” menangani penularan Covid-19 varian Omicron apabila menyekat perjalanan untuk mengerjakan umrah sedangkan ada cara lain yang boleh dibuat, kata jemaah yang baru pulang dari tanah suci.

Antaranya ialah dengan mengintegrasikan sistem sijil vaksinasi antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Mereka juga berpandangan kerajaan boleh melaksanakan peraturan syarat kuarantin yang lebih ketat dan bukannya menyekat terus perjalanan.

Bekas Adun Penawar Dr Mohamed Azam Rauzan berkata langkah itu lebih munasabah kerana pada masa ini hampir seluruh rakyat sudah menerima dua dos vaksin dan sedang diberikan dos tambahan, dan tidak seharusnya perjalanan mereka disekat lagi.

“Bagi saya untuk varian Omicron, kita dah ada imuniti kelompok, kerajaan melebih-lebih…sebab Omicron taklah bahaya sangat.

“Kita tak boleh nafikan apa yang kerajaan buat, imuniti kelompok katanya terbaik, kita terima, jadi sepatutnya tak perlu panik tentang Omicron,” katanya.

Tambahnya, sekatan perjalanan itu tidak wajar dan tidak harus berlarutan terlalu lama.

“Jangan lama sangat bekukan umrah, kerana umrah tak salah, hanya Malaysia sahaja negara dalam dunia yang halang ibadah umrah. 

“Itu bagi saya berlebih-lebihan… Arab Saudi okay, relaks sahaja.” katanya lagi.

Bekas Adun Penawar Dr Mohamed Azam Rauzan. – Gambar Facebook, 12 Januari, 2022.

Pada 1 Januari, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan keputusan kerajaan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan umrah bermula 8 Januari bagi membendung penularan Covid-19 varian Omicron.

Khairy kemudian menjelaskan penangguhan itu berkuat kuasa untuk tempoh sebulan tertakluk pada penilaian semasa.

Keputusan dibuat selepas KKM mendapati 85% daripada lebih 1,800 kes jangkitan Covid-19 yang direkodkan minggu lalu melibatkan jemaah umrah, termasuk lebih 76% peratus yang melibatkan varian Omicron.

KKM juga mengesan 17 jemaah umrah yang dijangkiti Covid-19 varian Omicron terlepas ke luar negara tanpa vaksin.

Malaysia mengenakan sekatan perjalanan umrah ketika Arab Saudi juga memperketatkan kembali SOP penjarakan fizikal semasa solat di selepas peningkatan kes Covid-19 melibatkan jemaah yang pulang daripada mengerjakan umrah.

Sementara itu, Dr Mohamed Azam yang berada di Arab Saudi untuk umrah antara 21 Disember hingga 1 Januari berkata hanya mereka yang melaksanakan ibadah umrah dibenarkan berada berhampiran Kaabah, manakala mereka yang ingin menunaikan solat dan melakukan ibadah lain dipisahkan daripada kumpulan jemaah umrah.

“Jemaah juga perlu membuat permohonan terlebih dahulu untuk melakukan umrah,” katanya.

Dr Mohamed Azam juga berkata, di Madinah, mereka menggunakan sistem penggiliran dan setiap jemaah yang melawat Raudah diberikan tempoh 15 minit untuk beribadah.

Langkah itu katanya dapat memastikan tidak berlaku kesesakan selain mengawal bilangan jemaah yang dibenarkan masuk ke kawasan tersebut.

Jemaah jaga diri

Sementara itu penyanyi Noraniza Idris berkata jemaah juga menjaga diri sendiri selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Saya mengikut peraturan, sewaktu berada di sana saya menjaga penjarakan fizikal, tidak terlampau mendedahkan diri dan dekat dengan jemaah lain.

“Saya sangat menjaga waktu penjadualan seperti makan dan waktu melakukan tawaf agar tidak bertemu dengan bilangan jemaah yang ramai,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Noraniza bagaimanapun mengakui sukar untuk memastikan kawalan kendiri terutamanya sewaktu mengerjakan ibadah tawaf dapat dipatuhi.

Ini kerana katanya terdapat jemaah yang berpusu-pusu untuk melakukan ibadah sama.

“Ada jemaah lain yang langgar SOP, kita tak boleh buat apa,” katanya.

Penyanyi Noraniza Idris berada di Arab Saudi bermula 21 Disember hingga 2 Januari lalu untuk mengerjakan umrah. – Gambar Instagram, 12 Januari, 2022.

Selain itu, beliau juga mengehadkan perjalanan dan kurang keluar ke kawasan tumpuan membeli-belah dengan hanya keluar bersama ahli kumpulan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

“Kita jadi bimbang dan lebih berhati-hati, tak banyak keluar membeli belah, masa nak keluar kita bersama dengan kumpulan kita sahaja dan tak berasak-asak dengan orang luar. 

“Kita cari masa orang tak ramai baru keluar dan perlu bijak atur perjalanan,” tambahnya.

Noraniza dan suami, bersama 20 lagi ahli rombongannya berada di Arab Saudi bermula 21 Disember hingga 2 Januari lalu untuk mengerjakan umrah.

Mereka juga termasuk dalam rombongan jemaah umrah terakhir yang dibenarkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah sekembali ke tanah air.

Cari kaedah lain

Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja (MKT) Umno Mohd Razlan Rafii melihat terdapat kaedah lain yang boleh kerajaan laksanakan untuk membendung wabak selain menangguhkan perjalanan jemaah.

Razlan berpandangan kerajaan harus membuka semula perjalanan ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah dengan mengenakan syarat ketat untuk kuarantin.

“Kita nak tutup lama-lama untuk tetapkan prosedur SOP kita, sebenarnya kita sudah tiada alasan (untuk sekat) sebab negara kita dah buat langkah pencegahan, iaitu kuarantin selepas pulang daripada mengerjakan umrah.

“Jangan hukum semua orang yang buat baik, siapa yang buat kesalahan kita hukum, tapi jangan hukuman itu dikenakan kepada semua orang sampai tak boleh nak ke sana,” katanya.

Beliau yang mengerjakan umrah bersama isterinya pada 20 Disember hingga 31 Disember lalu turut melihat antara penambahbaikan yang boleh dilakukan kerajaan adalah integrasi sistem sijil vaksinasi antara KKM dan data Jabatan Imigresen.

Ahli MKT Umno Mohd Razlan Rafii berkata ada kaedah lain yang boleh kerajaan laksanakan untuk membendung wabak selain menangguhkan perjalanan jemaah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2022.

Arab Saudi meletakkan syarat mana-mana pelawat yang ingin memasuki negara itu perlu mendaftar sijil vaksinasi mereka melalui aplikasi Muqeem.

Data itu juga kata Razlan berhubungan dengan data visa sekaligus memudahkan urusan jemaah.

“Ia amat memudahkan untuk kita masuk ke Arab Saudi, di negara kita berbeza, nak balik negara kita lambat, kena isi borang dan sebagainya, sepatutnya nak masuk negara kita senang. 

“Tetapi di Malaysia banyak sangkut dalam KLIA sebab sistem KKM dan Imigresen tak selaras langsung, tak tahu kenapa,” katanya.

Di Arab Saudi, Razlan berkata, bagi mengawal bilangan jemaah pada satu-satu masa, setiap jemaah perlu mendapatkan temujanji mereka terlebih dahulu sebelum dibenarkan menunaikan umrah.

Temujanji itu katanya dibuat melalui sistem yang dibangunkan kerajaan Arab Saudi yang saling berintegrasi.

“Nak buat umrah hanya dengan temujanji, tawaf dan solat di masjid itu juga perlu ada temujanji, ikut prosedur, nak jaga kapasiti beribadah di masjid.

“Temujanji pula dibuat melalui sistem, sebaik sahaja kita tiba, kita diwajibkan untuk mendapatkan kad sim Arab Saudi, dari situ mereka dah kawal kehadiran, bila dapat sim kad, dan kemudian kita daftar melalui aplikasi mereka, itu baru membolehkan kita buat umrah.

“Kehadiran, maklumat vaksin semua disimpan dalam aplikasi itu,” kata Razlan.

Razlan berkata, setiap jemaah yang ingin menunaikan ibadah umrah juga diwajibkan mengambil insurans sewaktu memohon visa dengan nilai perlindungan maksimum RM100,000 sebagai perlindungan sekiranya dijangkiti penyakit termasuk Covid-19 sewaktu berada di Arab Saudi. – 12 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • As usual want special rules lalike Jokovic!

    Dimuat naik 2 tahun yang lalu oleh Alphonz Jayaraman · Ulasan