Umrah ditangguhkan sementara bermula 8 Januari, kata menteri


Ibadah umrah ke Arab Saudi akan ditangguhkan sementara bermula 8 Januari susulan penularan jangkitan varian Omicron, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. – Gambar AFP, – 1 Januari, 2022.

KERAJAAN memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Januari ini bagi membendung penularan varian Omicron Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin di tempat kediaman yang menyebabkan berlakunya jangkitan dalam kalangan ahli keluarga.

“Kebanyakan jemaah yang pulang dari mengerjakan umrah telah memohon menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman sepanjang tempoh tujuh hari kuarantin. Namun apabila berlaku tidak patuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kes positif Covid-19 dalam kalangan jemaah umrah menyebabkan berlakunya penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga.

“Ketidakpatuhan kepada prosedur kuarantin di rumah atau tempat kediaman juga mendedahkan ahli keluarga serumah atau jiran tetangga dan sanak saudara yang datang menziarah, kepada jangkitan Covid-19,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata berikutan situasi berkenaan, satu perbincangan khas diadakan semalam bersama beberapa agensi yang terlibat dalam pengurusan jemaah umrah membabitkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji; Kementerian Pengangkutan; Majlis Keselamatan Negara; Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma); Jabatan Imigresen Malaysia dan Persatuan Agensi Pelancongan umrah dan Haji.

Ia disusuli dengan Mesyuarat Khas Kuartet yang dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan  Hishammuddin Hussein bagi membincangkan cadangan penangguhan ibadah umrah susulan penularan Omicron.

Mesyuarat berkenaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini sehingga suatu tarikh yang dimaklumkan kelak dan tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuat kuasa hari ini.

Khairy berkata selain itu, turut diputuskan adalah kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak Nadma bagi jemaah umrah yang pulang ke Malaysia bermula 3 Januari ini.

“Bagi jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci (Mekah) pada 1 hingga 7 Januari, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan. Mereka bagaimanapun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh Nadma apabila tiba di Malaysia.

“Hasil mesyuarat diangkat kepada persetujuan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob,” katanya. 

Khairy  berkata perhimpunan berskala besar melibatkan jemaah dari pelbagai negara semasa di Arab Saudi mendedahkan jemaah Malaysia  kepada risiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 termasuk varian Omicron di mana situasi ini juga menyukarkan jemaah untuk mematuhi SOP Umrah yang ditetapkan kerajaan Malaysia.

 “Bilangan ketibaan jemaah umrah Malaysia yang ramai iaitu kira-kira 800 ke 1,000 sehari (menggunakan empat penerbangan khas) meningkatkan lagi risiko pengimportan kes Covid-19 dan varian Omicron ke dalam negara,” katanya.

Beliau berkata penilaian risiko situasi varian Omicron Covid-19 di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala sebelum keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah dibuat, dan penangguhan sementara itu dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes Covid-19.

Menurutnya, sehingga 30 Disember lepas 11,108 jemaah umrah telah tiba di Malaysia dan 1,306 daripadanya atau 11.76% dikesan positif Covid-19 dan daripada jumlah itu, 592 dikesan positif pada ujian pertama semasa hari ketibaan di Malaysia manakala 714 kes dikesan positif pada ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin.

Beliau berkata semalam (31 Disember), dua lagi kes Covid-19 disahkan varian Omicron, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini adalah 64 kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 32 kes atau 50 peratus dikesan dalam kalangan jemaah umrah.

Katanya, 63 daripadanya melibatkan pengembara dan satu kes disyaki jangkitan tempatan.

Khairy berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 1,077 sampel kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara dari tempoh 21 sehingga 29 Disember lepas.

“Sebanyak 966 daripadanya menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron dan kini menunggu keputusan ujian jujukan penuh (WGS), dan daripada 966 sampel berkenaan, 750 atau 77.6% melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi.

“Sehingga 30 Disember, terdapat sembilan kluster yang berlaku melibatkan jemaah umrah iaitu lima kluster melibatkan kes-kes indeks yang disahkan varian Omicron, satu kluster melibatkan kes indeks Presumptive Omicron – menunggu keputusan Whole Genomic Sequencing (WGS) dan tiga kluster melibatkan kes indeks positif Covid-19 yang bukan varian Omicron,” katanya. – Bernama, 1 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen