Tarian singa bakal beraksi semula pada Tahun Baru Cina


Angie Tan

Peserta pertandingan tarian singa sempena sambutan Tahun Baru Cina di IOI Mall, Puchong semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Januari, 2022.

SELEPAS dua tahun tidak beraksi susulan pandemik Covid-19, kumpulan tarian singa akan berpeluang membuat persembahan semula bagi melengkapi sambutan Tahun Baru Cina tahun ini.

Kumpulan yang ditemu bual The Malaysian Insight berkata setakat ini mereka menerima sekitar 30% hingga 50% tempahan menjelang perayaan yang akan disambut pada 1 dan 2 Februari.

Meski teruja untuk berkasi semula, tempahan tidaklah sebanyak seperti sebelum pandemik kerana orang ramai masih bimbang kerajaan akan meminda prosedur operasi standard (SOP) pada saat akhir, tambah mereka.

Ivan Chai Xun Fu, tenaga pengajar di Persatuan Tarian Singa dan Naga Jee Xiang Ruyi, berkata masih ramai yang bertanyakan mengenai harga dan tarikh yang masih lapang untuk tempahan.

“Orang ramai masih bimbang dengan pandemik dan kalau-kalau secara tiba-tiba kerajaan kenakan sekatan pergerakan.

“Kita pun risau juga, lebih-lebih lagi sekarang ada varian Omicron, jadi kami jelaskan kepada pelanggan jika kerajaan keluarkan arahan supaya tangguh persembahan maka kami terpaksan batalkan,” katanya.

Menurut Ivan, jika kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan persembahan tarian singa pada Tahun Baru Cina kali ini mungkin ada persatuan yang terpaksa gulung tikar.

“Sudah dua tahun kami tak buat persembahan. Kami cuma bergantung pada gaji sendiri untuk tampung perbelanjaan persatuan,” katanya, menambah mereka juga mengalami masalah kekurangan ahli.

Persatuan yang beroperasi di Kuching, Sarawak dan ditubuhkan sejak lapan tahun lalu itu kini hanya tinggal 18 ahli sahaja berbanding 40 orang sebelum ini.

“Separuh daripada ahli asal kami adalah pelajar persatuan, tetapi mereka sekarang sudah ada pekerjaan dan tak berminat lagi untuk buat persembahan.

“Jadi sekarang saya cuba suntik unsur-unsur dalam persembahan untuk tarik minat anak-anak muda menyertai kami supaya warisan tarian singa dapat terus dipertahankan,” ujarnya.

Persembahan lebih ringkas

Walaupun lama tidak membuat persembahan, kumpulan tarian singa tidak boleh mengenakan bayaran yang tinggi kerana memahami orang ramai masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19, kata Persatuan Tarian Singa Zhou Jia Sungai Dua Pulau Pinang.

“Semua orang sedang melalui saat-saat sukar, jadi kami tidak bercadang untuk kenakan bayaran yang tinggi,” kata ketuanya Daniel Koh Kok.

Koh juga berkata mereka hanya akan membuat persembahan yang ringkas, yang bersesuaian dengan khalayak yang lebih kecil serta menjimatkan kos. – 10 Januari, 2022.  

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen