Limau mandarin murah jadi pilihan pada Tahun Baharu Cina kali ini


Bernard Saw

Limau mandarin yang membawa simbol emas dan diberikan sebagai hadiah pada sambutan Tahun Baharu Cina.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2021.

PEMBORONG limau mandarin berdepan kekurangan stok limau bersaiz lebih kecil kerana pengguna mengelak untuk membeli yang bersaiz besar, iaitu limau premium untuk Tahun Baharu Cina berikutan pandemik Covid-19 dan ekonomi yang lemah.

Pemborong juga turut mengurangkan jumlah tempahan berikutan suasana perayaan yang suram, serta menjangkakan pengguna lebih berjimat cermat pada sambutan tahun baharu yang bermula minggu ini selama dua minggu.

Presiden Persatuan Pemborong Buah-buahan Kuala Lumpur, Chin Nyuk Moi berkata limau mandarin yang lebih murah hampir habis terjual, namun yang berkualiti tinggi dan lebih mahal masih banyak di pasaran.

“Pemborong mengurangkan pembelian stok dan hampir semua yang murah habis, manakala yang mahal masih banyak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pemborong mengurangkan tempahan berikutan masalah ekonomi. Chin menganggarkan hanya 50% jumlah limau mandarin biasanya terdapat di pasaran ketika pasca Covid-19.

Pemborong juga tidak menjangkakan keuntungan besar dari hasil jualan tahun ini, namun berharap ia sekurang-kurangnya dapat menampung kos modal.

“Pasaran masih baik berbanding yang kita  jangkakan. Pada asalnya saya ingatkan kita tidak dapat jual apa-apa,” tambah Chin.

Pengguna kini beralih kepada limau mandarin yang lebih murah pada sambutan Tahun Baharu Cina kali ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2021.

Limau mandarin yang membawa simbol emas dan diberikan sebagai hadiah pada sambutan Tahun Baharu Cina sebagai cara untuk mendoakan penerima sentiasa dalam kegembiraan dan kaya. 

Penjual limau mandarin David Pang yang membuka gerai di Ampang berkata beliau membuat tempahan lebih sedikit berbanding tahun sebelum ini dan stoknya hampir kehabisan, hanya beberapa hari sebelum Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata pelanggan yang lambat membeli buah limau mungkin tidak akan banyak pilihan dan terpaksa membayar lebih.

“Tahun ii tidak akan ada stok tidak habis. Saya rasa penjual boleh habiskan stok mereka tetapi pelanggan yang tidak banyak pilihan.”

Seorang lagi peniaga dari Kajang, Koh Jun Kang berkata beliau melihat masih ada permintaan untuk limau mandarin, walaupun jumlahnya sedikit berbanding sebelum ini.

Peruncit juga mengurangkan tempahan daripada muatan kontena kepada hanya muatan lori.

“Saya sendiri tidak jangka akan jual banyak tahun ini. Saya hanya beli 3,000 kotak tahun ini, dan kini hanya beberapa ratus kotak sahaja tinggal.

Walaupun peruncit berhati-hati, mereka masih berdepan masalah buah yang tidak terjual, kebanyakannya yang lebih murah.

Pada sambutan Tahun Baharu Cina sebelum ini, limau mandarin yang mahal dan berkualiti menjadi pilihan pengguna.

Pengguna juga tidak membeli secara pukal atau kotak tetapi hanya dengan dozen, tidak seperti sebelum ini, kata Koh.– 10 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen