PRESIDEN Lubnan pada Isnin menggesa tamatkan boikot terhadap kerajaan, secara tersirat mengkritik sekutunya Hizbullah kerana menyekat mesyuarat kabinet sejak Oktober berhubung tuntutan untuk memecat hakim.
Kerajaan Lubnan yang dibentuk pada September bagi membendung krisis kewangan terburuk negara itu tidak bermesyuarat lebih dua bulan sejak 12 Oktober.
Hizbullah, gerakan Syiah yang disokong Iran, dan sekutu gerakan Amal yang diketuai oleh speaker Parlimen Nabih Berri menerajui pemboikotan itu.
Mereka menuntut hakim Tarek Bitar diganti berikutan siasatan letupan yang melanda ibu kota Beirut pada Ogos 2020.
Letupan penghantaran baja ammonium nitrat yang disimpan di gudang pelabuhan selama bertahun-tahun mengorbankan sekurang-kurangnya 215 orang dan mencacatkan ibu negara.
Pegawai politik dan keselamatan tertinggi tahu tentang bahaya yang ditimbulkan oleh penghantaran itu tetapi gagal mengambil tindakan.
Usaha Bitar untuk menyoal siasat bekas menteri telah dicabar dengan tindakan undang-undang, manakala Hizbullah dan Amal menuduhnya mempolitikkan siasatan itu.
“Penting supaya kabinet bertemu dan membetulkan… masalah dalam Majlis Menteri,” kata Presiden Michel Aoun dalam ucapan di televisyen.
“Dengan undang-undang mana, dengan logik mana, dengan Perlembagaan mana Majlis Menteri disekat, diminta membuat keputusan yang tidak termasuk dalam kuasanya,” katanya.
Lubnan sedang bergelut dengan krisis ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang digelar Bank Dunia sebagai antara yang terburuk di planet ini sejak pertengahan abad ke-19.
Lebih 80 peratus penduduk hidup dalam kemiskinan dan mata wang tempatan menyusut lebih 90 peratus nilainya di pasaran gelap.
Perbalahan politik telah menghalang pemulihan kewangan, termasuk perbincangan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa.
Minggu lalu Aoun berkata Lubnan memerlukan “enam hingga tujuh tahun” untuk keluar daripada krisisnya, manakala beberapa pakar berkata ia mungkin memakan masa yang lebih lama. – AFP, 28 Disember, 2021.
Komen