Hospital di Lubnan tak mampu bertahan jika gelombang baharu Covid-19 muncul


Seorang pekerja bekerja di bilik penjana Hospital Universiti Rafik Hariri (RHUH) di Beirut, Lubnan. Ekonomi Lubnan yang merosot telah memberi tekanan kepada hospital, menyebabkan mereka semakin tidak lengkap untuk menghadapi gelombang baharu Covid-19, kata pengarah RHUH. – Gambar AFP, 24 Julai, 2021.

KRISIS ekonomi sedia ada di Lubnan telah memberi tekanan kepada hospital, membuatkan mereka tidak bersedia menghadapi gelombang baharu Covid-19, kata pengarah hospital terkemuka di negara itu.

Sudahpun bergelut dengan kekurangan ubat-ubatan dan penghijrahan pekerja perubatan ke luar negeri, kemudahan kesihatan di negara itu juga turut mengalami tekanan dengan bekalan elektrik yang kerap terputus.

“Semua hospital… sekarang kurang bersedia berbanding ketika gelombang Covid-19 pada awal tahun ini,” kata Firass Abiad, pengurus hospital awam terbesar di Lubnan.

“Kakitangan perubatan dan jururawat telah letak jawatan, ubat yang sebelum ini ada, kini sudah habis,” dan bekalan elektrik kerap terputus menyebabkan hospital lagi terancam.

Malah Hospital Universiti Rafik Hariri (RHUH) yang dikendalikannya sentiasa berusaha untuk mengatasi masalah ini.

“Kami hanya ada dua hingga tiga jam elektrik, dan selebihnya bergantung kepada penjana,” kata Abiad.

Selain risau mereka akan penat, “kami ada beban besar sebab perlu kerap cari minyak.”

Permintaan besar untuk komoditi yang semakin susah didapati ini telah menaikkan harga lebih 80 peratus sejak 17 Jun.

Walaupun di RHUH yang berprestij, beberapa ubat juga sudah habis.

“Ada hari antibiotik, ada hari lain pula ubat bius,” kata ketua hospital itu.

Kadang-kadang “kami terpaksa minta saudara-mara pesakit untuk pergi dan berusaha cari ubat dari hospital atau farmasi lain.”

Setelah kes Covid-19 jatuh pada musim bunga lalu, kini ia meningkat lagi ketika penduduk Lubnan dari negara luar pulang ke tanah air pada musim panas, dan ramai berkumpul dengan keluarga dan rakan-rakan.

Pada Khamis sahaja, 98 orang positif Covid-19 semasa tiba di lapangan terbang Beirut, kata kementerian kesihatan.

“Ia boleh jadi bencana jika kenaikan jumlah kes ini naik mendadak macam awal tahun ini,” kata Abiad. – AFP, 24 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen