LUBNAN perlukan AS$12 hingga AS$15 bilion dolar daripada rakan kongsinya bagi memulihkan ekonominya dan menyokong rizab mata wang asing yang semakin berkurangan, kata Gabenor Bank Pusat Riad Salameh pada Selasa.
Lubnan sedang bergelut dengan krisis ekonomi paling dahsyat yang digelar Bank Dunia sebagai salah satu yang paling teruk di dunia pada zaman moden.
Lebih 80 peratus penduduk hidup dalam kemiskinan dan mata wang itu telah hilang lebih 90 peratus nilai pasaran gelapnya di tengah-tengah pertelingkahan politik yang telah menangguhkan perjanjian dengan Tabung Kewangan Antarabangsa.
“Kuota kami dalam Tabung Kewangan Antarabangsa ialah AS$4 bilion,” kata Salameh dalam wawancara dengan AFP.
“Jika negara menambahnya, kita boleh capai AS$12 hingga AS$15 bilion, jumlah yang boleh membantu memulakan pemulihan Lubnan dan memulihkan keyakinan,” katanya.
Lubnan gagal membayar hutangnya buat kali pertama tahun lalu tetapi pemimpin politik terus menentang pembaharuan utama yang dituntut oleh penderma untuk membuka kunci dana yang diperlukan.
Sementara itu, rizab dolar mandatori bank pusat telah dikurangkan lebih separuh.
“Rizab mandatori turun kepada AS$12.5 bilion,” kata Salameh yang dilihat secara meluas sebagai punca utama kejatuhan ekonomi yang mereka katakan disebabkan sebahagiannya oleh dasar bank pusat.
Rizab mandatori berjumlah AS$32 bilion sebelum bermulanya krisis ekonomi pada 2019.
Rizab yang semakin berkurangan dengan cepat mengancam program subsidi yang pada mulanya meliputi bahan api, ubat, tepung dan import utama lain sebelum ia dihapuskan.
Bank pusat itu mampu membiayai subsidi separa bagi beberapa baki import utama untuk “sekitar enam hingga sembilan bulan,” jika tiada langkah tambahan diambil untuk memerangi kejatuhan nilai pound Lubnan, kata Salameh. – AFP, 21 Disember, 2021.
Komen