LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor mendapati bencana banjir di negeri itu mengakibatkan 49 peserta ladang kontrak terjejas dengan sebahagian besar mereka mengusahakan tanaman dan bahan input seperti baja dan racun.
Pengarah Fama Selangor Aiada Abdul Rashid, berkata situasi itu akan menjejas rantaian bekalan hasil tanaman.
“Kesan banjir terhadap rantaian bekalan hasil tanaman sedang dikaji oleh agensi kerajaan yang terbabit. Kita melihat perkara ini akan menjejas rantaian bekalan hasil tanaman,” katanya selepas program penyerahan sumbangan Fama di Kuala Lumpur hari ini.
Fama Selangor dengan kerjasama jawatankuasa pasar tani Selangor hari ini menyampaikan barangan keperluan harian kepada 175 orang usahawan pasar tani dan lapan usahawan industri asas tani yang terjejas banjir di sembilan daerah di Selangor.
Aiada berkata, dalam tempoh seminggu, pihaknya dapat mengumpulkan bantuan daripada pengusaha pasar tani, badan bukan kerajaan serta orang awam yang sudi menyumbang membantu mangsa terkesan bencana itu.
Sementara itu, Fama Selangor menerusi kenyataan memaklumkan mereka mewujudkan bilik gerakan pusat pengurusan krisis (CMC) untuk memastikan kelancaran penyampaian bantuan kepada usahawan terjejas.
Bilik gerakan yang beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 7 malam setiap hari itu bertujuan menerima permohonan bantuan daripada usahawan menerusi portal ‘Fama Feedback System’ atau di talian hotline Fama. – Bernama, 27 Disember, 2021.
Komen