Fama buka 77 pusat jualan baharu sepanjang PKP


Mohd Farhan Darwis

Fama akan membuka 77 pusat jualan di seluruh negara untuk mengurangkan kesesakan di pasar basah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2020.

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan membuka pusat jualan baharu di 77 lokasi seluruh negara, bagi menjual barangan keperluan harian, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, pusat jualan baharu itu bertujuan mengurangkan kesesakan di pasar basah yang menjadi tumpuan orang ramai mendapatkan bekalan keperluan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kementerian setuju supaya Fama mengambil peranan ini wujudkan pusat jualan baru barangan basah dan wujud pusat jualan barangan segar terkawal di 77 lokasi setiap negeri,” katanya, pada sidang media harian, di Putrajaya, hari ini.

Menteri pertahanan itu berkata, hanya barangan basah semata-mata yang dibenarkan untuk dijual di pasar berkenaan.

“Kalau dulu pasar tani ada jual pakaian dan makanan, kali ini hanya tumpu kepada barang basah semata-mata seperti ikan, sayur, dan sebagainya,” katanya.

Lokasi pusat jualan itu katanya melibatkan beberapa outlet di pasar tani (10); pasar tani kekal (16); pusat operasi Fama (17); Myfarm outlet (3); Kompleks Peladang (34); dan beberapa pejabat dan agensi yang bersesuaian.

“Terlalu sukar untuk kawal kesesakan di pasar basah waktu pagi dari segi penjarakkan sosial satu meter dan kita dapati kesesakan berlaku di pasar basah pagi kerana kurang pilihan tempat produk basah,” katanya.

Kesemuanya akan beroperasi dua kali seminggu antara pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari.

“Kita akan laksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, penjarakkan sosial ditetapkan, gerai berniaga dijarakkan, dan pintu masuk keluar dikawal polis dan tentera.

“Walaupun kerajaan membenarkan rakyat berbelanja dengan pilihan lebih banyak, SOP ditentukan kerajaan mesti dipatuhi.

“Fama juga akan jual produk mereka melalui jualan atas talian. Kita galakkan rakya beli atas talian untuk produk Fama,“katanya lagi.

Beliau berkata, pasar basah dan pasar borong juga boleh terus beroperasi seperti biasa bermula pukul 6 pagi hingga 12 tengahari.

Selain itu, beliau turut berkata, pengendali lebuh raya juga bersetuju untuk menangguhkan bayaran sewa ke atas premis yang disewa di lokasi rehat dan rawat lebuhraya.

“Walau tak banyak kenderaan mereka masih perlu bayar sewa, pihak pengurusan lebuhraya Plus, Latar, MEX, Kesas, Grand Saga, Prolintas, setuju kecualikan bayaran sewa selama enam bulan,” katanya.

Ismail Sabri turut memaklumkan, angkatan tentera akan menyalurkan bantuan makanan keperluan kepada penduduk di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak. – 31 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen