Golongan pertengahan hanya mampu belanja di pasar tani, jualan murah


Zaim Ibrahim

Kos sara hidup semakin tinggi mendesak golongan kelas menengah berbelanja di pasar tani dan jualan murah untuk mendapatkan bekalan barangan dapur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2019.

KOS sara hidup yang semakin tinggi mendesak golongan kelas menengah untuk berbelanja di pasar tani dan jualan murah untuk mendapatkan bekalan barangan dapur.

Ia menarik golongan ini ke acara jualan seperti yang dianjurkan kerajaan negeri dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pulau Pinang.

Salah seorang pengguna, Sukhairi Samsudin berkata, jualan murah itu diperlukan oleh golongan menengah sepertinya kerana dapat membantu mereka meringankan beban kos barangan dapur.

Penjawat awam itu berusia 45 tahun itu berkata beliau mampu berjimat hampir 50% untuk membeli barangan dapur dengan berbelanja di pasar seperti itu.

Dengan itu beliau dapat membeli seekor ayam dengan harga RM8 yang lebih murah berbanding pasar raya, katanya sambil menunjukkan barangan yang dibelinya.

Beliau juga dapat membeli satu beg bawang besar dengan harga RM5, tiga biji nenas pada harga RM10 dan pelbagai jenis sayuran serta rempah-ratus.

“Harga di (pasar tani Fama) dan pasar awam di tempat lain bezanya lima hingga 10 peratus lebih murah.

“Pada saya, jualan murah seperti ini perlu lebih kerap dilakukan untuk beri pilihan kepada golongan pertengahan dan bawahan untuk membeli belah,” kata beliau yang berpendapatan RM8,000 sebulan.

Bapa kepada empat orang anak ini memberitahu, golongan M40 perlu diberi perhatian oleh kerajaan kerana pendapatan mereka kini hanya sekadar “cukup-cukup makan”.

“Walaupun saya tinggal di Permatang Pauh, Pulau Pinang, gaji yang saya dapat itu memang cukup-cukup untuk bulan itu sahaja.

“Saya ada empat anak dan perbelanjaan pelajaran anak-anak lah yang paling tinggi iaitu hampir RM1,000 untuk sebulan. Perbelanjaan dapur pula RM500 hingga RM600,” jelasnya.

Seorang lagi pengunjung, Jamilah Ariffin, 59, pula berkata beliau berbelanja lebih daripada RM100 untuk pelbagai barangan mentah untuk bekalan dua hingga tiga minggu.

Pegawai bank itu mendapati, ayam yang dijual pada harga RM8 seekor dan sayur-sayuran berharga RM1 sebungkus sangat murah berbanding di pasar raya, kedai runcit, dan juga pasar awam.

“Saya beli banyak untuk bekalan dua hingga tiga minggu bagi barangan mentah. Harga ikan kembung pun RM8 sahaja (di sini) untuk 1kg, kalau dibandingkan di pasar awam mungkin RM12.

“Sayur pula dijual secara paket, RM1 satu. Jadi saya beli hampir 10 jenis sayur yang boleh digunakan untuk seminggu,” jelasnya yang juga berpendapatan RM8,000 sebulan.

Menurut Jamilah, acara jualan murah itu sangat dinantikan golongan pertengahan sepertinya yang tersepit dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Kerajaan tidaklah perlu turunkan semua harga barang. Cukuplah jika turunkan harga barangan mentah kerana ia banyak dibelanjakan oleh rakyat.

“Dapat kurang 10 atau 20sen pun sudah memadai untuk permulaan,” tambah beliau.

Seorang bapa muda Mohamad Khairul Azni Abu Bakar, 29, turut mengeluh mengenai kesempitan yang dialami golongan pertengahan sepertinya.

Bapa kepada seorang cahaya mata berusia 4 tahun itu berkata, ia menyebabkan beliau banyak berjimat dan jarang bercuti untuk mengawal perbelanjaan.

“Kita sebenarnya banyak berjimat sebab pendapatan isi rumah cukup-cukup untuk satu bulan dan kita tidak dapat apa-apa bantuan.

“Komitmen seperti pinjaman kereta, bayaran balik pinjaman pendidikan, dan perbelanjaan anak-anak membuatkan kita bergelut setiap bulan,” jelasnya.

Dengan pendapatan isi rumah sebanyak RM4,000 sebulan itu beliau memilih untuk berbelanja di pasar berkenaan untuk membeli sayur, ayam, dan barangan runcit yang lain.

“Kentang dijual RM1 untuk 250 gram. Saya beli 1kg baru RM4, kalau di pasar lain mungkin berharga RM8,” kata beliau ketika menujukkan barangan yang dibeli.

Penasihat kerajaan Daim Zainuddin pada minggu lalu menyatakan harapan agar kerajaan dapat memberi komitmen baharu untuk menurunkan harga makanan pada 2020. 

Beliau berkata, kerajaan perlu menangani punca utama kepada masalah itu dahulu iaitu ketidakupayaan sektor pertanian negara untuk memenuhi permintaan domestik.

Langkah sedemikian akan membantu mengurangkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap isu kos sara hidup, jelasnya.– 25 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen