Petani masih miskin tapi Fama dapat mahligai, kata Anwar


Zaim Ibrahim Chan Kok Leong Aminah Farid

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata pembinaan bangunan pejabat Fama tidak sepatutnya diutamakan dalam keadaan terdesak ketika negara berdepan pandemik Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2020.

PEMBINAAN pejabat baharu RM220 juta untuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) tidak akan menyelesaikan kemiskinan petani, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Katanya, pembinaan bangunan pejabat korporat yang disifatkannya sebagai mahligai itu tidak sepatutnya diutamakan dalam keadaan terdesak sewaktu negara ditekan pandemik.

“Menteri umumkan pembinaan bangunan secara land swap iaitu bangunan baharu pejabat korporat Fama bernilai RM220 juta di Kelana Jaya.

“Saya ingin tekankan, ini belanjawan Covid-19. Fama ditubuhkan untuk bantu petani dan pekebun kecil dalam isu pemasaran, patut Menteri beri tumpuan terhadap mengubah pemikiran lama.

“Masalah pemasaran tidak akan dibantu, diselesaikan dengan bangunan korporat yang baru,” kata Anwar di Dewan Rakyat.

Beliau juga bimbang berlaku penyelewengan dalam pembinaan secara penukaran tanah itu kerana siasatan dijalankan kerajaan Pakatan Harapan menemui banyak masalah dalam skim tersebut.

Katanya, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pada waktu itu mendapati pelaksanaan penukaran tanah atau land swap menyebabkan kerugian dan ketirisan lebih RM500 juta di kementeri itu.

Perkara itu didedahkan dalam laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan melibatkan kerugian 16 projek.

Semua 16 projek land swap tersebut melibatkan sebanyak 2,923 ekar tanah milik Kementerian Pertahanan antaranya telah dan akan dipindah milik, kata Mohamad.

Anwar berucap ketika membahaskan peruntukan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu, yang kemudiannya diluluskan dengan undian suara.

Ia menjadi belanjawan untuk kementerian ketiga yang diluluskan secara undian suara. Tiga lagi diluluskan secara undi belah bahagi. – 2 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen