SEKURANG-KURANGNYA lima maut apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan bahan api di bandar Beni di timur Republik Demokratik Congo pada Sabtu, lapor pegawai tempatan.
Pegawai mendakwa ia dilakukan Pakatan Tentera Demokratik (ADF), kumpulan bersenjata dan didakwa oleh Isis sebagai cabangnya di Afrika.
“Pengebom berani mati, dihalang oleh pihak keselamatan daripada masuk ke bar yang penuh dengan pelanggan, mengaktifkan bom di pintu masuk,” kata satu kenyataan daripada pegawai tentera yang mengawal wilayah Kivu Utara.
Sebanyak 13 orang lagi sedang dirawat di hospital kerana cedera, tambah kenyataan itu, menyifatkan jumlah kematian belum disahkan.
Tidak lama selepas letupan itu, Narcisse Muteba, kolonel yang mengawal bandar itu semasa keadaan darurat, menggesa penduduk pulang ke rumah demi keselamatan diri.
Seorang wartawan AFP melihat tiga mayat di lokasi letupan, restoran In Box. Serpihak meja, kerusi, botol dan gelas bertaburan di seluruh lokasi letupan.
Sumber dewan bandaraya memberitahu AFP dua kanak-kanak adalah antara yang maut, selain dua pegawai tempatan.
Lebih 30 orang sedang merayakan Krismas di sana apabila bom meletup, dua saksi memberitahu AFP.
“Saya duduk di sana,” kata penyampai radio tempatan Nicolas Ekila kepada AFP.
“Ada sebuah motosikal diletakkan di situ. Tiba-tiba motor meletup dan diikuti bunyi kuat.”
Sebuah kenderaan polis membawa mangsa cedera ke pusat perubatan berhampiran.
Pada 27 Jun di Beni, letupan akibat bom buatan di sebuah gereja Katolik mencederakan dua wanita, pada hari yang sama seorang lelaki maut apabila bom dibawanya meletup.
Sehari sebelumnya, peranti lain meletup berhampiran stesen servis tanpa menyebabkan sebarang kerosakan. Pihak berkuasa menyalahkan ADF berhubung kejadian itu.
Beni, di wilayah Kivu Utara di sempadan timur DRC dengan Uganda, sering menjadi lokasi bertempuran antara tentera dan ADF.
Pada 30 November, DRC dan Uganda melancarkan operasi bersama terhadap ADF dalam usaha mematahkan serangan berdarah ADF.
Uganda juga menyalahkan kumpulan itu untuk beberapa serangan ke atas wilayahnya. – AFP, 26 Disember, 2021.
Komen