PBB mulakan penempatan semua pelarian Congo di Uganda 


Lebih 11,000 warga Congo terpaksa melarikan diri merentasi sempadan ke Uganda sejak pertempuran bermula di bahagian timur Republik Demokratik Congo (DRC) pada Ahad. – Gambar EPA, 10 November, 2021.

PESURUHJAYA Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian memulakan usaha penempatan semula ribuan rakyat Congo yang menyeberangi sempadan ke Uganda untuk melarikan diri daripada pertempuran, lapor Xinhua.

Agensi pelarian itu dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman webnya pada Selasa berkata setakat ini kira-kira 500 pencari suaka dipindahkan ke pusat transit Nyakabande yang terletak berhampiran, yang boleh memuatkan sehingga 1,500 orang.

“Pencari suaka di Nyakabande disaring untuk Covid-19, berdaftar dan diberi air, makanan, tempat perlindungan komuniti dan barangan lain seperti selimut. Satu sistem disediakan untuk mengenal pasti dan menjejak pantas orang yang memerlukan bantuan kecemasan,” kata kenyataan itu.

Ia menyebut lebih 11,000 warga Congo terpaksa melarikan diri merentasi sempadan ke Uganda sejak pertempuran bermula di bahagian timur Republik Demokratik Congo (DRC) pada Ahad.

“Kami bimbang kapasiti dan perkhidmatan tempatan mungkin tidak mencukupi tidak lama lagi dan meminta sumber segera untuk menangani keperluan ketibaan pelarian baharu,” kata agensi PBB itu.

Agensi itu berkata setakat tahun ini, ia hanya menerima 45% daripada pembiayaan untuk operasinya di Uganda, sebuah negara yang menempatkan lebih ramai pelarian berbanding mana-mana negara lain di Afrika.

Uganda menjadi tuan rumah kepada kira-kira 1.5 juta pelarian dari negara jiran DRC, Rwanda, Burundi, Sudan Selatan, Somalia dan Eritrea, menurut agensi PBB. – Bernama, 10 November 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen