Bekas PM Slovakia ditahan sebelum demonstrasi 


Bekas perdana menteri Slovakia, Robert Fico ditahan sebelum mengadakan demonstrasi anti-kerajaan di Bratislava. – Gambar EPA, 17 Disember, 2021.

POLIS Slovakia pada Khamis menahan bekas perdana menteri Robert Fico sebelum beliau dijadual mengadakan demonstrasi anti-kerajaan walaupun sekatan pandemik terhadap perhimpunan.

Perhimpunan lebih daripada enam orang kini diharamkan mengikut langkah anti-Covid di negara anggota EU itu, yang mana kadar jangkitannya adalah antara yang tertinggi di dunia.

Protes yang dianjurkan oleh parti Smer-SD, yang dipengerusikan oleh Fico, masih diteruskan petang Khamis dengan berpuluh-puluh kereta membunyikan hon melalui ibu kota Bratislava.

“Saya ditahan dan dituduh menghasut. Ia tidak masuk akal. Ini adalah pengakhiran demokrasi. Saya tidak menghasut apa-apa,” kata Fico kepada wartawan selepas dibebaskan.

Jurucakap polis Michal Szeiff memberitahu AFP bahawa pegawai menahan Fico sejurus sebelum 6 petang dan berkata penguatkuasaan undang-undang akan memberikan butiran lanjut pada hari Jumaat.

Tidak dapat dipastikan sama ada Fico akan menghadapi sebarang pertuduhan.

Smer-SD yang mengumumkan perhimpunan itu pada Selasa, mengatakan mereka membantah keengganan presiden bulan lalu untuk membenarkan referendum yang dicadangkan oleh parti.

Presiden Zuzana Caputova telah menolak referendum, yang meminta diadakan pilihan raya mengejut berhubung pengendalian kerajaan terhadap pandemik, selepas mahkamah memutuskan bahawa ia bertentangan dengan Perlembagaan.

“Presiden Caputova tidak mengendahkan kehendak lebih 600,000 rakyat Slovakia yang menggesa referendum,” kata Fico kepada wartawan pada Selasa.

Beliau menjelaskan bantahan itu sebagai satu cara untuk “menyatakan ketidaksetujuan kami dengan dasar kerajaan dan jurucakapnya, Presiden Caputova, yang telah menguburkan demokrasi.”

Fico terpaksa meletak jawatan pada 2018 selepas pembunuhan wartawan penyiasat yang mendedahkan rasuah peringkat tinggi dan mencetuskan gelombang sentimen antikerajaan.

Wartawan itu, Jan Kuciak, telah menyiasat hubungan antara ahli perniagaan, ahli politik dan pegawai kanan lain apabila dia dibunuh. – AFP, 17 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen