PM Slovakia rela letak jawatan untuk selesai krisis kerajaan 


Perdana Menteri Slovakia Igor Matovic meletakan syarat agar pemimpin parti lain turut meletakkan jawatan kementerian mereka. – Gambar EPA, 22 Mac, 2021.

PERDANA Menteri Slovakia Igor Matovic menyatakan kerelaannya untuk meletakkan jawatan bagi menyelamatkan kerajaan gabungan yang diterajui partinya selepas menerima kritikan berhubung cara ia mengendalikan pandemik koronavirus. 

Parti termuda dalam gabungan empat parti itu mengancam untuk meninggalkan kerajaan sekiranya Matovic enggan meletakkan jawatan pada Rabu ini. 

Pemimpin liberal, Presiden Zuzana Caputova menuntut beliau mencari penyelesaian. 

“Saya sanggup meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dalam kerajaan ini dan kekal sebagai salah seorang ahlinya,” kata Matovic kepada pemberita pada Ahad. 

Bagaimanapun, beliau meletakan syarat pemimpin parti lain turut meletakkan jawatan kementerian mereka.

“Untuk menenangkan keadaan, kami mempertimbangkan peletakan jawatan menteri Richard Sulik daripada kerajaan serta merta,” kata Matovic 
 merujuk kepada menteri ekonomi yang juga pemimpin parti liberal SaS. 

Sulik sebelum ini mengancam untuk meletakkan jawatan sekiranya Matovic enggan berundur. 

Mengulas kenyataan Matovic pada Ahad, Sulik berkata beliau tidak dapat menerimanya untuk kekal sebagai menteri dalam kerajaan. 

“Kami tidak bersetuju dengan cadangan itu, yang mana motif utamanya (Matovic) adalah untuk balas dendam,” kata Sulik. 

Tiada satu pun daripada parti dalam gabungan itu mencadangkan pilihan raya awal kerana kajian menunjukkan kemenangan berkemungkinan besar berpihak kepada parti pembangkang bersayap kiri.

Krisis politik Slovakia mula tercetus selepas negara yang mempunyai 5.4 juta penduduk itu berdepan kesukaran untuk menangani pandemik yang merekodkan kes kematian dan jangkitan antara tertinggi di dunia. – AFP, 22 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen