PERDANA Menteri Slovakia Igor Matovic berkata pada Jumaat bahawa beliau telah disahkan positif Covid-19.
Pengumuman itu dilakukan selepas seminggu beliau menghadiri sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU) di Brussels.
Sidang kemuncak itu juga dipercayai menjadi kawasan penularan jangkitan Covid-19 yang turut menjangkiti Presiden Perancis Emmanuel Macron. Hal itu menyebabkan sekumpulan pemimpin Eropah dan pegawai tinggi Perancis terpaksa menjalani kuarantin kendiri.
“Hari ini, saya adalah salah seorang daripada anda,” tulis Matovic di laman Facebooknya, melampirkan imej keputusan ujiannya.
“Saya merancang untuk habiskan cuti Krismas bagi membantu di hospital. Sekarang rancangan saya mungkin sedikit berbeza,” tambah perdana menteri berusia 47 tahun itu.
Jabatan akhbar kerajaan memberitahu AFP bahawa Matovic menunjukkan tanda-tanda positif pada hari Khamis dan beliau kemudian membatalkan semua acara yang perlu dihadirinya.
Media tempatan melaporkan bahawa kerajaan telah meminta semua menteri dan setiausaha negara itu untuk disaring ujian Covid-19 sebagai respons terhadap perkembangan terbaru tersebut.
Timbalan Perdana Menteri Veronika Remisova dan Menteri Pertahanan Jaroslav Nad kemudian mengumumkan bahawa mereka juga turut disahkan dijangkiti Covid-19.
Sejak wabak itu meletus, Slovakia telah mencatatkan lebih dari 146,000 jangkitan , termasuk hampir 4,000 kes baharu pada Khamis lalu.
Lebih daripada 1,400 dilaporkan terkorban akibat virus tersebut di negara yang memiliki penduduk sebanyak 5.4 juta orang.
Pada hari Jumaat, kementerian kesihatan negara itu mengumumkan Slovakia akan mendapat vaksin pertama pada 26 Disember dan vaksinasi akan dimulakan pada hari yang sama. – 19 Disember, 2020.
Komen