Yang tercicir dari penyepit asimilasi


Izmil Amri

LOST in Translation, yang terbit pada 2003, dibintangi Scarlett Johansson dan Bill Murray adalah sebuah filem yang dengan begitu cemerlang menggambarkan bagaimana hambatan bahasa boleh menyukarkan kehidupan seseorang.

Dalam suatu babak, watak Bob Harris yang diperankan Bill, menerima arahan seorang sutradara Jepun melalui seorang penterjemah. Panjang berjela arahan yang diberikan dalam bahasa Jepun, namun terjemahan yang diberikan kepada pelakon Ghostbuster itu sangat pendek sekali.

“Itu saja?” soal Bill kepada si penterjemah. “Bunyinya macam ada banyak lagi.” Lebih kurang begitu. Demikian sebab kenapa tajuk filem itu, Lost in Translation. Hilang dalam Terjemahan.

Jadi apabila saya membaca tentang komen penyepit Tun Dr Mahathir Mohamad, diikuti penerangan tentangnya oleh Ketua Penerangan parti Pejuang Ulya Aqamah Husamudin, saya amat yakin ada benda yang tercicir.

Macam main telefon karat. Sanadnya mungkin kuat, namun matannya bercempera.

Seperti mengaut nasi guna penyepit, tapi tak cekap. Kaut sejemput, yang sampai ke mulut cuma dua butir.

Mari kita bahas satu demi satu perenggan tulisan Ulya supaya saya tidak keliru terlalu lama, dan kita boleh kembali makan nasi ikut kebiasaan masing-masing.

Ulya bermula dengan menyebut komen Tun tentang penggunaan penyepit digembar-gemburkan serta dipolitikkan tanpa memahami konteks di sebaliknya.

Pertama-tamanya kata Ulya, komen terbabit tidak diniatkan untuk menyinggung perasaan mana-mana rakyat Malaysia. Ia merupakan respons kepada persoalan sama ada Malaysia patut memilih jalan ekstrem untuk berasimilasi seperti di Indonesia.

Maka contoh “Cina makan nasi guna chopstick” adalah satu contoh untuk menunjukkan bagaimana keadaan di Malaysia jauh berbeza kerana rakyat negara ini masih mengekalkan identiti dan amalan leluhur masing-masing, mengikut keturunan dan budaya sendiri.

Kalau begitu, maknanya asimilasi bukanlah pilihan untuk membina sebuah bangsa kerana hakikatnya Malaysia mempunyai jamak budaya yang membentuk identitas bangsa negara ini melampaui sempadan warna kulit, kepercayaan, sempadan daerah dan latar ekonomi, kan?

Masalah saya ialah perenggan ketiga Ulya, yang menimbulkan persoalan yang baru tadi kita selesaikan. Kata Ulya, isu sebenar yang perlu difokuskan ialah kesiagaan kita untuk berasimilasi sebagai sebuah bangsa (Ulya guna kata “nation” dalam konteks ini) tanpa membawa sentimen keturunan yang pelbagai itu.

Sebaliknya, kata Ulya, kita perlu memberi takrifan kepada bangsa ini dengan satu naratif “Malaysian”.

Kemudian kata beliau, selagi mana kita masih mewujudkan penghalang, sempadan dan perbezaan ini, usaha menyatupadukan antara kaum dan masyarakat akan bertambah sukar.

Masalah dengan perenggan ini ialah beliau masih mengekalkan idea wujudnya perbezaan antara kita sebagai satu masalah.

Betul, masih wujud dalam kalangan masyarakat yang hanya menyewakan rumah atau bilik kepada kaum tertentu, dan ada majikan yang mendiskriminasi berasaskan kaum (walaupun orangnya Melayu yang fasih berbahasa Mandarin, contohnya).

Namun yang menjadi masalah sebenar ialah mentaliti, bukan perbezaan.

Ada Melayu yang rasis, ada Cina yang rasis, ada India yang juga rasis. Tetapi bukanlah Melayu itu sifatnya rasis. Sama halnya juga dengan Cina, India dan yang lain-lainnya.

Saya tidak sebut suku kaum di Borneo, kerana Sabah dan Sarawak sudah biasa mentertawakan betapa bermasalahnya perpaduan kaum di Semenanjung. Di sana, mereka punya toleransi dan persefahaman yang tinggi. Warung jual daging babi, dan warung jual makanan halal boleh duduk bersebelahan. Tak ada masalah.

Jati diri bangsa

Yang ada masalah ialah kita yang tidak mampu melihat melampaui batas perbezaan tersebut, dan melihat pagar yang menyempadani budaya serta adat resam sebagai halangan untuk memupuk kesatuan dalam membentuk jati diri sebuah bangsa.

Kelemahan kita sebenarnya ialah tiadanya iltizam untuk meraikan kepelbagaian tersebut sebagai sebuah identiti bangsa. Serta cenderung melihat asimilasi sebagai satu-satunya jalan ke arah perpaduan.

Pemikiran sedemikianlah yang terus membina tembok-tembok yang lebih besar, meletakkan “kita” dalam suatu lingkungan dan “mereka” dalam satu lingkungan lain.

Ini yang saya sebutkan ketika berbincang dengan Tun dalam satu sesi beberapa lama lalu, tentang politik teritorial. Politik “Cina duduk di bandar, India di estet dan Melayu di kampung” yang menjadi tunjang strategi pecah perintah British abad lampau seharusnya sudah boleh dipecahkan dalam kerangka membina Bangsa Malaysia dengan identiti jamak budaya.

Wacana tentang ini perlu diteruskan, seperti yang turut disarankan saudara Ulya – supaya bangsa bertuah ini tidak terjerat dalam kancah politik bikinan penjajah setelah lebih 60 tahun merdeka.

Sehingga hari ini, kita masih berbincang bagaimana kawasan majoriti Melayu perlu diletakkan calon Melayu dari parti, dan kawasan majoriti Cina diletakkan calon Cina dari parti Cina. Cuba kalau benar mahukan perpaduan, letak calon Melayu di kawasan majoriti Cina, dan begitu juga sebaliknya.

Dalam ucapannya di peluncuran buku terbarunya, Dr Mahathir menggambarkan bagaimana wujud kelompok dari India dan Arab yang mengorbankan identiti etnik masing-masing, mempelajari bahasa Melayu, menggunakan nama Melayu, serta mengamalkan budaya serta adat resam Melayu. Justeru mereka diterima sebagai Melayu walaupun mereka bukan Melayu.

Yalah, alang-alang beragama Islam, apa salahnya mengaku Melayu untuk dapat hak Bumiputera dan kemudian masuk Umno untuk tambah rangkaian niaga.

Tentu sekali yang mempunyai kepercayaan berbeza akan sukar mengaku diri Melayu, kerana mereka tidak mahu hilang identiti masing-masing kerana itu adalah kekayaan yang tidak boleh dibeli.

Cuba kalau kita yang Melayu ini pergi ke tanah besar China lalu disuruh berasimilasi dan menggunakan nama Cina. Aci kerat jari sepantas kilat kita bertanjak sambil menyelit keris di pinggang supaya orang tahu kita itu orang Melayu.

Maka masalah sebenarnya apa? Masalah sebenar ialah wujudnya pemain politik yang menjadikan perbezaan sebagai peluru untuk mendapat pengaruh, dengan melagakan kelompok tertentu, bermodalkan perbezaan itu.

Sebaliknya, perbezaan itu, perlu diraikan sebagai sebahagian daripada identiti Bangsa Malaysia.

Bak kata Prof Shad Saleem Faruqi dalam kuliah asas perlembagaannya; kepelbagaian di Malaysia bukan seperti ais kacang yang kian lama cair dan membentuk semangkuk sup yang akhirnya dibuang ke longkang. Sebaliknya ia seperti sebuah mozek berwarna-warni.

Masing-masing terasing, namun jika dilihat sebagai sebuah karya, akan kelihatan sebuah corak yang tiada sepertinya. – 14 Disember, 2021.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen