Kedai kopi tradisional naikkan harga minuman mulai Januari, kata persatuan


Angie Tan

Mulai Januari depan kedai kopi tradisional akan menaikkan harga minuman mereka bagi membantu pengusaha restoran menguruskan kos operasi yang semakin meningkat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2021.

HARGA secawan kopi panas atau mana-mana minuman lain di kedai kopi tradisional akan naik sehingga 60 sen mulai Januari bagi membantu pengusaha restoran menguruskan kos operasi mereka yang semakin meningkat, kata persatuan.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura Wong Teu Hoon memberitahu The Malaysian Insight purata kenaikan harga adalah antara 20 sen dan 60 sen bergantung kepada lokasi kedai kopi.

Wong berkata kenaikan harga di kawasan luar bandar adalah kira-kira 20 sen hingga 30 sen manakala di kawasan bandar pula antara 40 sen dan 60 sen

“Sewa lebih tinggi di beberapa kawasan, jadi harga akan diselaraskan lebih tinggi,” katanya.

Beliau menambah pemain industri terpaksa menyesuaikan harga mereka kerana tekanan yang semakin meningkat terhadap kos operasi.

“Kebelakangan ini banyak barang mahal - dari susu pekat dan susu sejat yang diperlukan untuk membuat teh kepada gaji pekerja, sewa, gas dan lain-lain, tidak ada yang murah.

“Jadi kenaikan harga minuman itu hanyalah subsidi untuk industri, sudah tentu ia bukan untuk mengaut keuntungan,” kata Wong.

Katanya dalam senario secawan kopi meningkat 20 sen, kedai kopi itu hanya memperoleh tambahan RM20 jika berjaya menjual 100 cawan kopi sehari.

“Jumlah itu tidak mencukupi untuk membayar gaji pekerja asing. Paling banyak, ia hanya subsidi,” katanya.

Tambahnya ada juga yang tersilap menganggap industri menaikkan harga berikutan kenaikan harga gula.

Sebenarnya semua jenis barangan dinaikkan harga pada masa sama, katanya.

Wong mendedahkan gaji semasa untuk menggaji pekerja asing meningkat dari RM1,200 kepada RM1,650 dan yuran tahunan agensi juga meningkat dari RM6,000 kepada RM9,500.

“Sekiranya industri ini kekurangan kakitangan, pelanggan juga akan merungut dengan perkhidmatan yang perlahan. Jadi saya harap semua orang dapat memahami situasi kami,” katanya.

Wong yang juga presiden Persatuan Kedai Kopi Melaka turut menekankan kebanyakan kedai kopi di negeri itu tidak menyelaraskan harga sejak enam tahun lalu.

“Kami sentiasa mengekalkan harga yang sama walaupun dengan kenaikan sewa premis, utiliti dan gaji pekerja sebelum ini.

“Kali ini kami benar-benar terpaksa menaikkan harga. Kebanyakan perniagaan bersetuju untuk mula menyesuaikan harga minuman mulai 1 Januari,” katanya.

Aktiviti ekonomi dimulakan semula sejak kerajaan melonggarkan sekatan Covid-19 pada Oktober.

Bagaimanapun perniagaan juga berdepan masalah lain termasuk kekurangan bahan mentah, tenaga buruh dan kenaikan bayaran pengangkutan. Mereka berkata ini membawa kepada gelombang demi gelombang kenaikan harga.

Takut hilang pelanggan

Pengerusi Persatuan Kafe Wellesley Pulau Pinang dan wilayah Tan Kar Seong mengesahkan harga minuman di kedai kopi tradisional di negeri utara di Malaysia akan naik mulai 1 Januari.

Katanya kedai kopi adalah perniagaan kecil-kecilan dengan ada yang menyewa premis mereka. Ditambah dengan kenaikan gaji pekerja, kos operasi keseluruhan meningkat dengan banyak.

“Semuanya naik, tiada siapa yang tahu apa yang berlaku, keadaannya sangat teruk,” kata Tan.

Katanya harga serbuk kopi juga akan naik tahun depan namun jumlahnya masih belum diketahui.

Sesetengah pemain industri lebih suka memilih untuk mengurangkan tenaga kerja dan menjalankan segala-galanya sendiri, katanya.

Peniaga juga tidak berani terburu-buru menaikkan harga kerana bimbang hilang pelanggan dan bertujuan memperoleh keuntungan kecil dengan jumlah jualan yang besar.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Kopi, Restoran dan Bar Johor Bahru Tiong Kiu Wong berkata keadaan bertambah buruk bagi mereka kerana ekonomi lembap.

Beliau berkata peniaga juga perlu mempertimbangkan kemampuan pelanggan sebelum mengenakan sebarang kenaikan harga.

“Walaupun anda perlu mendapatkan wang dalam perniagaan, keuntungan kecil dalam jumlah yang besar mungkin mengekalkan lebih ramai pelanggan,” katanya.

Tambahnya persatuannya tidak membincangkan kenaikan harga dan masih memerhati keadaan sebelum membuat keputusan muktamad.

“Setahu saya sebilangan kecil kedai kopi di kawasan Johor Bahru membuat penyelarasan harga minuman. Penyelarasan itu kecil kira-kira 10%.

“Mereka mungkin berdepan tekanan sewa yang lebih mahal, jadi mereka perlu menyesuaikan harga,” katanya. – 6 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen