Honiara kembali tenang selepas rusuhan maut


Mayat tiga mangsa rusuhan ditemui di luar bangunan yang terbakar di Honiara. – Gambar AFP, 27 November, 2021.

IBU negara Kepulauan Solomon, Honiara kembali tenang pada Sabtu selepas rusuhan beberapa hari yang menyebabkan sekurang-kurangnya tiga mati dan sebahagian daripada bandar raya itu mengalami kerosakan teruk.

Stesen petrol, kedai dan perniagaan lain kembali dibuka dengan penduduk Honiara bergegas keluar untuk membeli barang keperluan ketika keganasan semakin surut.

“Keadaan sangat tegang dan apa saja boleh berlaku pada bila-bila masa,” kata Audrey Awao, seorang ibu yang bimbang bekalan makanan di kedai kehabisan.

Apa yang bermula sebagai bantahan kecil pada Rabu berubah menjadi keganasan dengan penduduk miskin Honiara menyertai tunjuk perasaan anti kerajaan dan mencari makanan serta barang untuk dijual daripada gedung perniagaan yang sudah dicerobohi penunjuk perasaan.

Selama tiga hari berturut-turut, perusuh yang marah membanjiri ibu negara tepi pantai yang biasanya sepi itu, menuntut Perdana Menteri Manasseh Sogavare meletak jawatan.

Dua tahun sempadan ditutup kerana pandemik Covid-19 menjejaskan teruk ekonomi Solomon, mencetus pengangguran dan kemiskinan ketara dalam kalangan penduduk kira-kira 800,000.

“Sekarang PM perlu berundur,” kata seorang pekerja berusia 32 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Selson. “Itulah permintaan daripada semua rakyat Kepulauan Solomon.”

Polis tempatan berkata, pasukan forensik sedang berusaha untuk mengenal pasti mayat tiga mangsa yang hangus ditemui di sebuah kedai di daerah Chinatown yang terbakar di bandar itu.

Polis bersenjata lengkap kelihatan di jalan berhampiran ketika penduduk tempatan memulakan operasi pembersihan dan perkhidmatan bas terhad disambung semula.

Perintah berkurung pada waktu malam dan kehadiran kira-kira 150 pasukan pengaman asing dari Australia dan Papua New Guinea membantu meredakan ketegangan. – AFP, 27 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen