POLIS melepaskan tembakan amaran dan gas pemedih mata bagi menyuraikan perusuh yang menyerang rumah perdana menteri Kepulauan Solomon pada Jumaat, selepas tiga hari keganasan politik yang mendorong pengerahan pasukan pengaman antarabangsa.
Ketika polis dan tentera Australia dikerahkan untuk menjaga pelabuhan, lapangan terbang dan infrastruktur kritikal lain, ketika kumpulan perusuh sekali lagi membakar bangunan dan menjarah runtuhan kedai yang membara di ibu kota Honiara.
Beribu-ribu rakyat bersenjatakan kapak dan pisau mengamuk di kawasan Chinatown, Point Cruz wilayah komersial, menurut wartawan AFP di tempat kejadian.
“Kami hidup dalam ketakutan,” kata penduduk Josephine Teakeni kepada AFP.
“Pada masa ini ia sangat sukar… kanak-kanak akan ketinggalan sekolah, ramai ibu akan menganggur.”

Keganasan meruncing antara lain disebabkan kekecewaan terhadap kerajaan Perdana Menteri Manasseh Sogavare dan pengangguran kronik yang diburukkan lagi oleh pandemik.
Pada Rabu, penunjuk perasaan cuba menyerbu Parlimen dan menggulingkan Sogavare, membakar bangunan luar dan merompak kedai berhampiran.
Pada Khamis mereka menentang perintah berkurung kerajaan dan mengerumuni Chinatown, menyebabkan beberapa bangunan dibakar termasuk hartanah komersial dan bank.
Turut mendorong pergolakan adalah permusuhan yang berpanjangan antara penduduk pulau Malaita dan kerajaan pusat.
Rakyat menyuarakan kemarahan mereka pada Jumaat dengan membakar sekurang-kurangnya sebuah bangunan berhampiran rumah Sogavare, sebelum polis melepaskan tembakan amaran untuk menghalau perusuh kembali ke tengah Honiara, menurut wartawan AFP yang berada di tempat kejadian.
Di Chinatown, sebuah gudang besar telah dibakar, menyebabkan letupan sehingga ramai orang panik, melarikan diri dari tempat kejadian.
Sebuah gudang tembakau turut dibakar ketika asap dari kebakaran hari-hari sebelumnya menyebabkan bahagian bandar yang berpenduduk 80,000 orang itu dalam jerebu teruk.
Pasukan Polis Kepulauan Diraja Solomon berkata pada Jumaat mereka hanya melakukan dua tangkapan, walaupun dua balai polis antara banyak bangunan yang terbakar. – AFP, 26 November, 2021.
Komen