RUSUHAN baru meletus di Honiara, ibu kota Kepulauan Solomon pada Khamis ketika Perdana Menteri Manasseh Sogavare menggesa rakyatnya bertenang ketika ketegangan memuncak yang bakal bawa negara Pasifik itu ke kancah krisis.
Penunjuk perasaan menentang perintah sekatan kerajaan yang dikenakan selepas kekacauan meluas di ibu negara pada Rabu, apabila penunjuk perasaan cuba menyerbu Parlimen dan menggulingkan Sogavare.

Namun perdana menteri mendakwa kerajaannya masih terkawal.
“Hari ini saya berdiri di hadapan anda untuk memaklumkan kepada anda semua bahawa negara kita selamat - kerajaan anda terus memimpin negara kita,” kata Sogavare menambah mereka yang bertanggungjawab “akan berhadapan tindakan undang-undang.”
Perusuh berkumpul semula dan sekali lagi menyasarkan kawasan Chinatown Honiara selain menggeledah balai polis, kata seorang penduduk tempatan kepada AFP.
Lelaki itu, yang tidak mahu namanya didedahkan, berkata polis telah membuat sekatan jalan raya tetapi pergolakan tidak menunjukkan tanda-tanda reda.
“Perusuh di mana-mana. Keadaan sangat tegang,” kata penduduk itu, ketika media tempatan melaporkan berlaku rompakan dan polis menggunakan gas pemedih mata.

Saksi lain menyiarkan imej di media sosial tentang asap yang naik dari ibu negara dan berkata perniagaan milik orang Cina menjadi sasaran.
Kebanyakan penunjuk perasaan di Honiara dilaporkan berasal dari pulau jiran Malaita, di mana rakyat telah lama mengadu tentang pengabaian kerajaan pusat.
Kerajaan tempatan pulau itu juga menentang keras keputusan Solomon untuk menukar kesetiaan diplomatik dari Taiwan ke China pada 2019, dalam langkah yang direka oleh Sogavare yang menurut pengkritik terlalu dekat dengan Beijing. – AFP, 25 November, 2021.
Komen