HONIARA, pusat bandar Kepulauan Soloman diletakkan di bawah perintah berkurung pada Rabu selepas penunjuk perasaan cuba menyerang Parlimen negara pulau Pasifik itu, kata polis.
Polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang telah membakar bangunan, malah sebahagiannya membakar balai polis dan pondok berhampiran bangunan Parlimen, kata jurucakap polis.
Beliau bagaimana pun tidak dapat mengesahkan sama ada protes itu adalah percubaan yang gagal untuk jatuhkan Perdana Menteri Manasseh Sogavare.
“Orang ramai menyerbu Parlimen. Saya tidak tahu jumlah sebenar tetapi memang ramai,” katanya kepada AFP.
“Mereka mahu perdana menteri letak jawatan. Itu spekulasi umum, tetapi kami masih siasat.
“Yang penting, polis kini kawal keadaan dan tiada siapa yang keluar dijalanan.”
Beliau berkata polis tidak tahu mengenai sebarang kecederaan.
Dalam pada itu pegawai Canberra menasihati warga Australia di ibu kota Solomon itu supaya berhati-hati.
“Pergolakan sedang rancak di Honiara. Sila berhati-hati, kekal di mana anda berada jika selamat untuk berbuat demikian dan elakkan orang ramai,” katanya.
Keganasan tersebut dilaporkan melibatkan sekumpulan penunjuk perasaan yang pergi ke Honiara minggu ini dari pulau jiran Malaita.
Rungutan mereka dipercayai melibatkan pengabaian kerajaan pusat dan rasa tidak puas hati yang berlarutan terhadap keputusan Kepulauan Solomon untuk menukar kesetiaan diplomatik dari Taiwan ke China pada 2019.
Banyak komuniti di Malaita telah menjalin hubungan yang mendalam dengan Taipei malah kerajaan tempatan pulau itu telah berulang kali mengutuk tindakan berbaik dengan China.
Ketegangan antara pulau itu mencetuskan kekacauan yang membawa kepada penempatan pasukan pengaman yang diketuai Australia sejak 2003 hingga 2017. – AFP, 24 November, 2021.
Komen