AUSTRALIA akan mengerahkan pasukan pengaman polis dan tentera ke Kepulauan Solomon dengan kadar segera, berharap dapat meredakan rusuhan yang mengancam menggulingkan kerajaan di Honiara.
“Tujuan kami untuk jaga kestabilan dan keselamatan,” kata Perdana Menteri Scott Morrison.
Penempatan itu sudah dijalankan berikutan permohonan Perdana Menteri Kepulauan Solomon Manasseh Sogavare, tambahnya.
“Apabila mereka perlu bantuan kami, mereka akan dapat,” kata Morrison.
Lebih 100 pegawai polis dan tentera akan ambil bahagian dalam misi yang dijangka berlangsung “untuk beberapa minggu”.

Pada Rabu, penunjuk perasaan cuba menyerbu Parlimen dan menggulingkan Sogavare, membakar bangunan luar dan merompak kedai berhampiran.
Pada Khamis mereka menentang perintah berkurung kerajaan dan mengerumuni Chinatown, menyebabkan beberapa bangunan dibakar termasuk hartanah komersial dan bank.
Menjelang matahari terbenam, api membara di Honiara dan kepulan asap hitam tebal berkepul di atas bandar itu.
Rusuhan tersebut didorong oleh ketegangan antara penduduk wilayah Malaita dan kerajaan pusat yang berpangkalan di Guadalcanal.
Morrison berkata pasukan keselamatan Australia tidak akan berusaha untuk menyelesaikan konflik itu sebaliknya memberi tumpuan kepada memulihkan ketenangan.
“Bukan niat kerajaan Australia dalam apa cara sekalipun untuk campur tangan urusan Kepulauan Solomon, itu terletak pada mereka untuk selesaikan,” katanya.
Australia mengetuai misi pengaman ke Solomon dari 2003 hingga 2017, berkata ia diperlukan untuk mengelakkan negara itu menjadi “negara gagal”.
Pengerahan itu - dinamakan Misi Bantuan Serantau ke Kepulauan Solomon - menelan belanja kira-kira AS$2.2 bilion dengan pengkritik berkata ia akan berlanjutan lama kerana dilancarkan tanpa strategi yang jelas. – AFP, 25 November, 2021.
Komen