Tiga terbunuh dalam rusuhan di Kepulauan Solomon


Pasukan forensik telah melancarkan siasatan tempat di mana tiga mangsa ditemui nagus dalam kebakaran namun punca kematian masih belum dikenal pasti. – Gambar AFP, 26 November, 2021.

TIGA mayat ditemui di sebuah bangunan yang terbakar di ibu negara Kepulauan Solomon, Honiara, kata polis pada Sabtu.

Ini merupakan kematian pertama dilaporkan sejak tiga hari rusuhan.

Korban hangus ditemui di sebuah kedai di Chinatown, Honiara, dengan seorang pengawal keselamatan memberitahu AFP beliau menemui mayat di dua bilik pada lewat Jumaat.

Polis berkata pasukan forensik telah melancarkan siasatan dan masih berada di tempat kejadian namun punca kematian masih belum dikenal pasti.

Jalan raya di ibu negara masih lengang pada pagi ini ketika penduduk tempatan mula menilai kerosakan yang ditinggalkan akibat rusuhan.

Perintah berkurung telah dikenakan ke atas ibu negara yang bergolak itu selepas hari ketiga keganasan yang menyaksikan rumah perdana menteri diserang dan sebahagian besar bandar itu dipenuhi asap tebal akibat kebakaran di merata tempat.

Pasukan pengaman Australia, yang tiba di negara itu pada Khamis, turut menyertai polis di jalan raya bagi memulihkan keadaan dan melindungi infrastruktur penting.

Letupan keganasan sebahagiannya disebabkan oleh kekecewaan rakyat terhadap kerajaan Perdana Menteri Manasseh Sogavare dan pengangguran kronik yang diburukkan lagi oleh pandemik Covid-19.

Pakar berkata krisis itu juga telah didorong oleh permusuhan antara penduduk pulau paling ramai di Malaita dan kerajaan pusat yang berpusat di pulau Guadalcanal.

Negara kepulauan yang mempunyai kira-kira 700,000 penduduk itu telah berdekad-dekad mengalami ketegangan etnik dan politik.

Penduduk Malaita telah lama mengadu pulau mereka diabaikan oleh kerajaan pusat, dan perpecahan menjadi lebih kuat apabila Sogavare mengiktiraf Beijing. – AFP, 26 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen