LEBIH 50 orang dilaporkan maut semalam selepas lemas terhidu asap di lombong arang batu di Siberia dalam usaha menyelamat yang berakhir dengan tragedi.
Pengurus kanan lombong di wilayah Kemerovo Rusia ditahan kerana disyaki melanggar peraturan keselamatan selepas kemalangan maut terbaru melanda industri perlombongan besar negara itu.
Agensi berita Rusia memetik pihak berkuasa tempatan sebagai berkata seramai 52 orang maut termasuk pelombong dan enam penyelamat yang menjadi sebahagian daripada operasi mencari yang dibatalkan.
“Menurut maklumat awal, tiada sesiapa yang masih hidup di lombong itu,” kata agensi berita negara TASS memetik sumber dalam perkhidmatan kecemasan tempatan.
Lombong Listvyazhnaya berhampiran bandar Belovo di wilayah perlombongan Kemerovo dipenuhi asap pada awal pagi semalam dengan 285 orang terperangkap di dalamnya.
Kebanyakannya berjaya diselamatkan tetapi pegawai berkata 35 pelombong tidak dapat dikesan.
Tidak jelas apa yang menyebabkan kemalangan itu berlaku walaupun beberapa media Rusia melaporkan habuk dalam lubang pengudaraan terbakar menyebabkan lombong itu dipenuhi asap.
Agensi berita RIA Novosti memetik laporan pihak pendakwa berkata percikan api mungkin mencetuskan letupan metana.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan tetapi dibatalkan beberapa jam kemudian selepas pegawai memberi amaran tentang ancaman letupan.
Terdapat laporan penyelamat kehabisan oksigen dan agensi berita berkata mayat enam daripada mereka sudah ditemui.
Agensi berita swasta Interfax memetik seorang pegawai tempatan sebagai berkata mereka mengalami kesesakan nafas.
Jawatankuasa Siasatan Rusia yang menyiasat kes besar membuka siasatan jenayah dan berkata tiga ditahan termasuk pengarah lombong berusia 47 tahun dan timbalannya berusia 59 tahun.
“Semasa siasatan awal didapati tahanan melanggar syarat keselamatan industri,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan. – AFP, 26 November, 2021.
Komen