Tanah runtuh di lombong Indonesia ragut sembilan nyawa  


Foto pada 20 Mei 2017 menunjukkan pelombong emas haram di tebing sungai Tabir di pulau Sumatera, Indonesia. Negara ini mempunyai banyak lombong emas tidak berlesen yang kebanyakannya tidak memenuhi standard keselamatan. – Gambar EPA, 19 April, 2020.

SEMBILAN orang terbunuh akibat tanah runtuh di sebuah lombong emas haram di Sumatera, kata pihak berkuasa Indonesia pada hari Ahad.

Kemalangan itu berlaku pada Sabtu di Solok Selatan di provinsi Sumatera Barat ketika 12 orang sedang melombong emas di sebuah lombong yang telah ditinggalkan.

Kawasan tersebut dikatakan mempunyai periuk api yang ditinggalkan sejak zaman penjajahan.

“Lapan lelaki dan seorang wanita masuk untuk menggali dan ditimbus tanah runtuh. Kami sedang berusaha mendapatkan mayat mereka pagi ini,” kata jurucakap Firdaus Firman kepada AFP.

Tiga orang yang saksi kejadian melaporkan kemalangan itu kepada pegawai tempatan apabila kumpulan pelombong tersebut gagal keluar dari lombong berkenaan.

Mangsa adalah terdiri daripada kalangan petani tempatan yang melombong emas tanpa peralatan atau alat pelindung yang betul.

Hujan lebat di lokasi kejadian turut mengganggu usaha menyelamat mangsa.

“Semua mangsa sudah dipastikan dan tidak ada mangsa yang hilang,” kata Firman, sambil menambah bahawa polis dan agensi bencana tempatan sedang menyiasat perkara berkenaan.

Aktiviti pelombongan haram dan tidak berlesen dilakukan di seluruh Indonesia yang kaya dengan mineral dan kerap menjadi tempat kejadian kemalangan di negara itu.

Pada awal 2019, sekurang-kurangnya 16 orang tertimbus ketika sebuah lombong runtuh di wilayah Bolaang Mongondow, Sulawesi Utara, menyaksikan lima pelombong terbunuh selepas beberapa bulan sebelumnya kemalangan serupa dilaporkan. – AFP, 19 April, 2020. 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen