Pakatan janji selesai isu banjir jika menang di Melaka, kata pengerusi PKR negeri


Noel Achariam Elill Easwaran

Pengerusi PKR Melaka Halim Bachik ketika ditemui pada sidang media di Taman Merdeka Permai, Melaka baru-baru ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 November, 2021.

SALAH satu keutamaan Pakatan Harapan apabila memenangi pilihan raya negeri Melaka ialah untuk menyelesaikan isu banjir yang melanda negeri itu, kata Halim Bachik.

Pengerusi PKR Melaka memberitahu The Malaysian Insight isu itu akan diteliti dengan lebih mendalam untuk mendapatkan penyelesaian kepada rakyat.

“Ini adalah salah satu keutamaan kami. Apabila kami ambil alih, kami akan lihat perkara ini. Sudah pasti kami faham ia adalah masalah longkang yang melibatkan kos yang tinggi,” katanya pada satu temubual baru-baru ini.

“Ia melibatkan banyak kawasan yang menjejaskan rakyat.”

“Perlu ada perancangan strategik supaya perkara itu dapat diselesaikan. Ini melibatkan perancangan jangka panjang dan bukan hanya kerja pembaikan yang hanya berlangsung selama beberapa bulan.” tambah Halim yang tidak dinamakan sebagai calon parti pada pilihan raya kali ini.

Semalam PH melancarkan manifestonya untuk pilihan raya Melaka berdasarkan tiga teras: kebajikan, ekonomi dan tadbir urus. 

Calon ketua menteri gabungan itu Adly Zahari berkata manifesto gabungan pembangkang itu menggariskan tiga teras, enam strategi dan 32 inisiatif.

Bulan lalu, Melaka sekali lagi dilanda banjir kilat yang menjejaskan 1,105 individu dari 283 keluarga. 

Ia turut mengorbankan nyawa seorang anggota bomba dari Melaka Tengah yang tidak sedarkan diri ketika operasi menyelamat banjir di Kg Sg Putat, Ayer Keroh, dan meninggal dunia sehari selepas kejadian.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini berkata kerajaan memperuntukkan lebih RM9 bilion untuk hampir 100 tebatan banjir dan projek saliran bandar di bawah Rancangan Malaysia ke 12  (2021-2025) bagi menyelesaikan masalah banjir.

Halim bagaimanapun berkata perlu ada kajian lengkap bagi menyelesaikan isu banjir kilat di negeri ini.

“Sebab jika hujan lebat selama sejam, maka akan berlaku banjir kilat.

“Kita kena selesaikan isu ini secara kolektif. Kerajaan negeri kena campur tangan dan bantu serta selesaikan isu ini untuk selamanya.”

Beliau juga berkata banjir kilat turut berlaku di bandar dan kawasan lain, menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Semua ini menjejaskan pelancongan negeri, katanya.

“Kami bimbang apabila hujan. Akan berlaku kesesakan lalu lintas yang akan menjejaskan pelancongan.”

Beliau turut membidas kerajaan negeri sebelum ini kerana tidak mengambil berat tentang kebajikan rakyat semasa pandemik Covid-19.

“Apa yang mereka lakukan hanyalah memberi bantuan makanan tetapi ini tidak akan menyelesaikan masalah rakyat.

“Perlu ada strategi untuk membantu rakyat semasa pandemik selain daripada memberi bantuan makanan.”

Beliau berkata dengan peruntukan pandemik yang besar, kerajaan negeri boleh lakukan lebih daripada sekadar memberi bantuan makanan.

“Sekiranya PH berkuasa dalam tempoh ini, kita akan fokus membantu golongan B40, peniaga dan lain-lain yang menjalankan perniagaan kecil.

“Bantuan kerajaan RM250 ini tidak membantu. Kita perlu mengenal pasti keluarga B40 dan membantu mereka memperoleh pendapatan dengan membuka gerai dan perniagaan lain. Bantu mereka mencari rezeki,” katanya.

PH berhasrat untuk mengalahkan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional agar dapat memerintah negeri itu semula.

Ia memenangi negeri itu pada pilihan raya umum lalu tetapi tidak lama kemudian tumbang berikutan beberapa pembelotan, membolehkan kerajaan pimpinan Umno mengambil alih.

Bagaimanapun kerajaan negeri itu juga tumbang berikutan pembelotan wakil rakyat negeri, termasuk dua daripada Umno.

Seramai 22 calon bebas juga akan menyertai pilihan raya negeri, yang dijadualkan berlangsung pada 20 November ini. – 11 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen