Manifesto Pakatan Melaka tumpu kebajikan, ekonomi, tadbir urus


Noel Achariam Elill Easwaran

Calon ketua menteri Melaka Pakatan Harapan (PH) Adly Zahari (kanan) dalam menjanjikan kepada rakyat Melaka berkata manifesto PH mempunyai tiga teras, enam strategi dan 32 inisiatif bagi membangunkan ekonomi, kebajikan serta tadbir urus negeri itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 November, 2021.

PAKATAN Harapan (PH) melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan pelan tindakan yang berdasarkan tiga teras iaitu kebajikan, ekonomi dan tadbir urus.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari, yang dicalon sebagai ketua menteri negeri, berkata manifesto gabungan pembangkang itu menggariskan tiga teras, enam strategi dan 32 inisiatif.

“Langkah teras ini akan memfokuskan kepada kesihatan dan ancaman Covid-19, termasuk menaik taraf cara hidup rakyat, mencipta peluang pekerjaan bagi merancakkan ekonomi serta membantu perusahaan kecil dan sederhana.

“Kami akan pastikan Melaka mendapat kerajaan yang stabil, telus dan beintegriti,” kata Adly. 

Manifesto PH juga mempunyai enakmen antilompat parti, status exco kepada ketua pembangkang dan peruntukan sama rata untuk semua Adun.

Ia turut menyatakan semua Adun perlu mengisytiharkan harta selain akan memulakan proses tender terbuka.

Selain itu dana khas Covid-19 termasuk kit ujian percuma kepada industri serta kumpulan berisiko tinggi.

Manifesto itu menyatakan dana tersebut akan digunakan untuk melindungi orang ramai daripada kesan mental Covid-19, serta beberapa skim kebajikan.

Dana itu juga akan membantu keluarga yang kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19 dan kad perubatan bernilai RM300 untuk keluarga B40 yang layak mendapatkan rawatan di klinik swasta.

Manifesto itu juga menyebut pentadbiran negeri PH mampu menunaikan 62 daripada 85 janji manifestonya untuk PRU14 dalam tempoh 18 bulan.

Ini termasuk menyediakan perkhidmatan bas percuma, pembinaan 100 rumah percuma, dan mengeluarkan 1,070 keluarga daripada kemiskinan. – 10 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen