Haram kempen fizikal bukti SPR ketinggalan zaman, kata Kit Siang


Raevathi Supramaniam

Veteran DAP Lim Kit Siang hari ini menempelak Suruhanjaya Pilihan Raya kerana masih melarang kempen fizikal, mengguna pakai SOP kuno untuk pilihan raya Melaka sedangkan negeri itu sudah berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara di mana aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 November, 2021.

SURUHANJAYA Pilihan Raya gagal jalankan tanggungjawab untuk mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil di Melaka apabila mengharamkan semua kempen fizikal, kata Lim Kit Siang hari ini.

Veteran DAP itu berkata tidak ada keperluan untuk larangan sepenuhnya terhadap semua kempen fizikal kerana Melaka berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara di mana hampir semua aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan.

“SPR telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya untuk mengadakan pilihan raya Melaka pada 20 November yang ‘bebas, adil, dan bersih’ dengan SOP ketinggalan zamannya yang menghalang sebarang bentuk kempen secara fizikal.

“Mengapa SPR tidak mampu untuk mencari titik perseimbangan antara memastikan berlakunya pilihan raya yang ‘bebas, adil, dan bersih’ dan pada masa sama, mengekang penularan wabak Covid-19?” soal ahli Parlimen Iskandar Puteri dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, SPR mengumumkan satu-satunya bentuk kempen fizikal dibenarkan pada pilihan raya negeri Melaka adalah dengan kenderaan yang dilengkapi pembesar suara pada waktu ditetapkan dan dengan permit polis.

SPR berkata SOP yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan, melarang sebarang bentuk perhimpunan fizikal awam.

Ini bermakna ceramah, atau aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi serta aktiviti walkabout adalah dilarang.

Calon yang melanggar peraturan ini tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tambah kenyataan itu.

SOP lain untuk PRN Melaka menetapkan calon dan parti hanya dibenarkan membuka satu bilik gerakan bagi setiap kerusi. Bilik gerakan yang lebih kecil atau tempat berkumpul untuk jentera pilihan raya parti tidak dibenarkan.

Lim berkata SOP SPR itu tidak selaras dengan slogan “hidup bersama Covid” memandangkan sekolah di Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah akan dibuka semula pada 21 November dan perjalanan udara bebas kuarantin antara Malaysia dan Singapura akan dilaksanakan tidak lama lagi.

“Larangan menyeluruh SPR ini memberikan kesan yang amat buruk kepada parti-parti pembangkang, yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan radio dan televisyen.”

Ini, katanya, akan membolehkan penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah semasa pilihan raya.

“Para peguam telah mengatakan yang sekatan Kementerian Kesihatan terhadap semua bentuk kempen secara fizikal di Melaka ini bertentangan dengan undang-undang dan kerajaan sebaliknya patut membenarkan aktiviti di mana penjarakan boleh diadakan dengan mematuhi SOP untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19,” kata Lim. – 9 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen