PARTI Perikatan India Muslim Nasional (Iman) yang akan membuat penampilan kali pertama dalam pilihan raya dengan mengetengahkan seorang calon anak tempatan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Parti itu mempertaruhkan Ketua Cawangan Machap Jaya, Abdul Aziz Osani Kasim, 52, seorang ahli perniagaan di negeri itu yang akan bertanding di kerusi DUN Machap Jaya.
Presiden Iman Mohammed Mosin Abdul Razak berkata Abdul Aziz dipilih kerana hubungan rapatnya dengan penduduk di kawasan itu selain sudah lama berkecimpung dengan aktiviti khidmat masyarakat dan kerja kebajikan selama lebih 30 tahun.
“Beliau adalah anak tempatan dan memang sudah lama tinggal di situ, jadi dia tahu apa masalah yang di alami penduduk, kalau letak orang luar mereka mesti tidak tahu masalah di Machap Jaya, jadi susahlah.
Kami harap pengundi di kawasan N.08 Machap Jaya akan membuat pilihan yang tepat dengan memilih Abdul Aziz sebagai wakil bagi memperjuangkan isu-isu tempatan dan membantu warga Machap Jaya dalam pelbagai aspek,” katanya pada sidang media ketika mengumumkan calon parti itu di Seremban, hari ini.
Iman sebelum ini dikenali Parti India Muslim Bersatu Malaysia (PIBM) yang ditubuhkan pada 2019 dan pada September tahun lepas, PIBM meminda perlembagaan parti dengan menukar nama kepada Iman.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada esok dan undi awal pada 16 Nov ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas susulan empat Adun menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali. – Bernama, 7 November, 2021.
Komen