AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali mengingatkan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) untuk tidak membuat fitnah ketika berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
“Setiap orang daripada kita ada hadnya. Kita tahu yang kita berhadapan dengan BN yang merupakan sebahagian daripada kerajaan tetapi perlu ada had.
“Jangan ada fitnah untuk raih undi,” kata Azmin yang juga pengarah pilihan raya PN, dan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Taman Melawati petang ini, di mana beliau ditanya mengenai PN dan BN berhadapan antara satu sama lain untuk semua 28 kerusi dalam PRN Melaka walaupun sebahagian daripada kerajaan yang sama.
Azmin berkata beliau percaya pengundi Melaka akan dapat melihat penambahbaikan yang PN bawa ke negeri itu.
“Kita akan biarkan rakyat buat keputusan. Kami telah buktikan formula kami dalam PN berjaya. Kami mampu tadbir dengan parti yang berbeza walaupun dalam krisis ekonomi yang teruk,” katanya.
Rakyat Melaka akan keluar mengundi pada 20 November. Esok adalah hari penamaan calon.
Seteru utama dalam PN dan BN iaitu Umno dan Bersatu akan bertembung di 12 kerusi dalam PRN Melaka.
Pertembungan terbesar melibatkan Ketua Wanita Bersatu dan ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusoh di Tg Bidara. Zainal Hassan dari PKR juga akan bertanding di kerusi tersebut.
Mas Ermieyati, bekas ketua Puteri Umno dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyertai Bersatu pada 2018. Beliau juga dikatakan sebagai sebagai calon PN untuk ketua menteri.
Sementara itu, sekutu Bersatu, PAS pula akan bertembung rakan Muafakat Nasionalnya, Umno, di tujuh kerusi.
Umno akan turun dalam PRN bersama sekutu BN, MCA dan MIC, yang masing-masing akan bertanding di tujuh dan satu kerusi. – 7 November, 2021.
Komen