DAP letak 2 muka baharu untuk PRN Melaka


Chan Kok Leong

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini mengumumkan dua muka baharu parti itu akan diletakkan bersama enam calon lama untuk bertanding dalam pilihan raya negeri Melaka pada 20 November ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2021.

DAP akan meletakkan dua calon baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sambil mengekalkan enam calon lama, kata Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng.

Dua muka baharu itu ialah Muhamad Danish Zainudin, 25, dan Leng Chau Yen, 37, yang masing-masing akan bertanding di kerusi Pengkalan Batu dan Bandar Hilir.

Pengumuman itu dibuat Lim pada sidang media secara dalam talian di ibu pejabat parti di Pudu hari ini.

Di bawah peruntukan kerusi Pakatan Harapan (PH), PKR akan bertanding 11 kerusi manakala Amanah sembilan kerusi dalam negeri dengan 28 DUN itu. Baki lapan kerusi akan ditandingi DAP.

Semua calon PH akan bertanding di bawah logo gabungan itu.

“Di Pengkalan Batu (N15), DAP akan letakkan Muhamad Danish Zainudin manakala seorang lagi pendatang baharu ialah Leng Chau Yen yang akan bertanding di Bandar Hilir (N22),” kata Lim.

Calon lain ialah penyandang Saminathan Ganesan (N07-Gadek), Kerk Chee Yee (N16-Ayer Keroh), Allex Seah (N9-Kesidang), Low Chee Leong (N20-Kota Laksamana), Damian Yeo (N21-Duyong) dan Tey Kok Kiew (N24-Bemban).

Muhamad Danish menyertai DAP pada 2017 dan merupakan setiausaha Dapsy Melaka.

Graduan pentadbiran korporat Universiti Teknologi Malaysia itu juga merupakan setiausaha politik kepada Yeo, yang merupakan setiausaha DAP Melaka.

Sementara itu, Leng, 37, merupakan setiausaha politik kepada Tey yang juga pengerusi DAP negeri, sejak 2013. Beliau juga merupakan pegawai khas Tey ketika memegang jawatan exco kerajaan negeri dari 2018 hingga 2020. Lulusan reka bentuk grafik itu kini merupakan setiausaha publisiti DAP Melaka.

Untuk PRN Melaka ini Leng akan bertanding di bekas kerusi bosnya, Tey yang akan bertanding di Bemban. Ini bermaksud DAP telah menggugurkan penyandang Bemban Dr Wong Fort Pin untuk memberi laluan kepada Tey.

Muhamad Danisah juga akan bertanding di kerusi bekas Adun DAP Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee.

Norhizam dipecat pada 2020 selepas memihak kepada Perikatan Nasional untuk menjatuhkan kerajaan PH Melaka.

Norhizam juga merupakan salah seorang daripada empat Adun yang menarik sokongan terhadap ketua menteri Barisan Nasional Sulaiman Mohd Ali, menyebabkan kerajaan negeri Melaka jatuh sekali lagi bulan lepas. – 5 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen