Dicari: Yang ada telur di Melaka


Jahabar Sadiq

Muda mungkin berprinsip untuk memberi alasan kenapa ia tidak bertanding dalam PRN Melaka, selain kerana PH menerima musuh dan bukannya sekutu yang muda untuk bertanding. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2021.

ADA yang menganggap Pakatan Harapan (PH) terdesak tetapi hakikatnya ia berani menamakan seseorang seperti Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri semasa kempen untuk pilihan raya umum 2018.

Dalam erti kata lain, ada telur untuk bertaruh bahawa beliau akan jadi senjata yang ampuh untuk mengalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Itulah yang mereka lakukan pada 2018.

Pada 2020, beberapa wakil rakyat PH berani pula menggulingkan kerajaan mereka sendiri dan bersekutu dengan Umno dan PAS untuk membentuk sebuah kerajaan lain.

Pada 2021, Umno pula menunjukkan keberanian untuk meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga menyebabkan kerajaan itu runtuh digantikan dengan sebuah gabungan baharu tidak bernama yang diketuai oleh Umno.

Segala tipu muslihat ini ternampak di beberapa negeri, sehingga membawa kepada pilihan raya negeri di salah sebuah negeri itu iaitu Melaka yang akan berlangsung 20 November ini.

Sekali lagi, BN dengan beraninya mengumumkan bertanding di kesemua 28 kerusi, menentang PN dan PH. PH pula bersemangatnya menerima dua ahli politik bekas Umno untuk bertanding atas tiketnya.

Kita boleh berbincang akan baik buruknya semua langkah ini sampai ke subuh tetapi inilah realiti politik Malaysia – bahawa untung jangka pendek mendapatkan kuasa mengatasi segala-galanya, termasuklah prinsip.

Dalam soal itu, mungkin Muda berprinsip untuk memberi alasan kenapa ia tidak bertanding dalam pilihan raya negeri Melaka, selain kerana PH menerima musuh dan bukannya sekutu yang muda untuk bertanding.

Itu juga menunjukkan realiti lain politik Malaysia – bahawa yang tua, tidak kiralah parti apa pun, mahu terus kekal berkuasa dan tidak memberi ruang dan jalan kepada yang muda.

Namun jika Muda ada ruang dan jalan itu, ia sepatutnya tidak mempedulikan PH dan bertanding di kesemua 28 kerusi.

Ia mungkin tidak menang satu kerusi pun dan mungkin memecahkan undi tetapi ia memberi pilihan kepada pengundi yang mahu pilihan lebih baik untuk memecahkan permainan politik orang tua di Malaysia.

Tidak masuk campur nampak molek dan sopan dalam konteks untuk kekal berkawan dalam politik ia juga menunjukkan kurang yakin untuk berdiri sendiri atau kurang percaya kepada pengundi untuk membuat pilihan yang lebih baik.

Bayangkan, Tunku Abdul Rahman memperjudikan pasukan yang lebih muda untuk membantunya merundingkan Merdeka untuk Malaya. Beliau mengumumkan kejayaan rundingan itu di Melaka pada 1956.

Kita mungkin berfikir mereka yang ‘bertelur’ ada di Malaysia dan Melaka, 65 tahun kemudian.

Malaysia akan terus tercekik dalam cengkaman ahli politik yang sudah tamat tempoh luputnya apabila tiada sebuah parti orang muda dalam pilihan raya negeri Melaka, walaupun ada senarai calon muda mewakili parti lain.

Tipu helah dan prestasi semasa pandemik menunjukkan Malaysia memerlukan kumpulan ahli politik yang lebih baik, dan yang lebih muda.

Melaka pada tahun-tahun 1400 adalah sebuah empayar. Hari ini ia jadi medan menentukan masa depan politik Malaysia.

Peluang itu jangan disia-siakan. – 6 November, 2021.

* Jahabar Sadiq ialah ketua pengarang The Malaysian Insight. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen