DBKL digesa segera baik pulih kawasan tanah runtuh di Bangsar, kata Fahmi


Noel Achariam

Pada 23 Oktober, tanah runtuh berlaku di LNS menjejaskan beberapa rumah di bahagian bawah di Jalan Limau Purut di Bangsar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2021.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mempercepatkan kerja membaik pulih dan menjalankan lebih banyak pemeriksaan di kawasan sekitar di mana insiden tanah runtuh berlaku di Bangsar baru-baru ini, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Beliau yang mendesak kerja baik dilakukan segera di cerun belakang deretan rumah yang runtuh itu, berkata pegawai DBKL memaklumkan kepadanya kawasan berkenaan tidak terdedah bahaya kejadian tanah runtuh lagi.

“Ia bergantung kepada hujan. Kebimbangan saya ialah adakah keseluruhan Bukit Persekutuan perlu diperiksa.

“Saya sudah tulis surat kepada DBKL berkenaan kemungkinan kajian lebih luas boleh dilakukan di sepanjang Jalan Lingkungan Negeri Sembilan (LNS),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada 23 Oktober, tanah runtuh berlaku di LNS menjejaskan beberapa rumah di bahagian bawah di Jalan Limau Purut.

Pihak berkuasa meminta tiga keluarga yang menetap di tiga rumah di situ berpindah keluar selepas tanah runtuh berlaku pada sebelah petang.

Ketua Polis Brickfields Amihizam Abdul Shukor berkara arahan berpindah itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga walaupun tiada kematian atau kemusnahan yang dilaporkan.

Penasihat Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya M. Ali juga menggesa DBKL memperluaskan pemeriksaan di kawasan LNS.

Persatuan itu bimbang berkenaan cerun di sepanjang Jalan Limau Manis yang membelakangi LNS dan ada kemungkinan ia terdedah risiko tanah runtuh.

Beliau berkata jika pemeriksaan tidak dilakukan, ada kemungkinan kira-kira 30 rumah di situ bakal terjejas jika banteng batu yang dibina bagi melindungi cerun di situ, tidak dapat bertahan.

Fahmi berkata beliau dimaklumkan Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah akan mengadakan mesyuarat minggu ini bagi mengenal pasti langkah yang perlu diambil.

Ini katanya, termasuk melindungi hartanah pemilik di Jalan Limau Purut, kerja baik pulih, pampasan dan rangka kerja pembaikan.

“Kami berharap DBKL akan maklumkan perkembangan pada minggu akan datang kepada penduduk terjejas, persatuan penduduk dan kejiranan di sini.

“Setakat ini kami belum menerima maklumat berkenaan pampasan dan bila kerja baik pulih akan dijalankan.”

Beliau berkata DBKL menguruskan laporan kaji selidik dan hasil dapatan dnegan Institut Kerja Raya Malaysia yang akan mengambil masa sebulan hingga dua bulan untuk disiapkan. – 1 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen