Pergaduhan di Bangsar bukan salah kami, kata persatuan peniaga


Ravin Palanisamy

PERGADUHAN awal pagi Sabtu di Bangsar, Kuala Lumpur yang menyebabkan seorang mati dan seorang lagi cedera parah tidak ada kena mengena dengan restoran yang menjual alkohol di situ, kata persatuan Bangsar Bar and Restaurant Owners (BRO).

Jurucakapnya, Joshua Billique, berkata tidak masuk akal dan tidak adil menuding jari kepada pemilik restoran hanya kerana mereka yang terlibat dalam perkelahian itu mabuk.

“Polis berkata motif kejadian itu adalah balas dendam dan video kejadian menunjukkan dengan jelas pergaduhan itu bermula di jalan belakang dan bukan di restoran,” kata Billique.

“Bukan hanya kerana mereka mabuk, tetapi kerana beberapa orang luar bawa masalah mereka ke sini.”

Pub dan pusat hiburan malam tidak dibenarkan beroperasi sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama kali dikuat kuasa di seluruh negara pada pertengahan Mac. Ia kekal sebagai antara beberapa sektor ekonomi yang masih tidak dibenarkan beroperasi walaupun dalam keadaan PKP bersyarat (PKPB) dan PKP pemulihan (PKPP).

Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 28 tahun terbunuh manakala rakannya yang berusia 30 tahun cedera parah ketika dua kumpulan bertembung di Jalan Telawi 3, Bangsar.

Video pergaduhan itu menunjukkan seorang pemuda tanpa baju diserang oleh ramai orang, ketika cuba mempertahankan dirinya dengan topi keledar. Adegan lain menunjukkan seorang pelintas cuba untuk menolong pemuda yang cedera.

Kejadian itu berlaku tepat selepas tengah malam tidak jauh dari pusat membeli-belah Bangsar Village, setelah mangsa keluar dari sebuah restoran.

Kejadian itu menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk di kawasan kejiranan kelas atas itu.

Penasihat Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya, Mumtaz Ali, berkata kawasan yang terlalu dikomersialkan  itu telah menjejaskan keselamatan penduduk, dan ini bukan kejadian pertama yang berlaku di sini.

Polis menahan seorang suspek pada Sabtu petang ketika pencarian masih dijalankan. – 15 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen