Penduduk Bangsar bimbang soal keselamatan selepas insiden gaduh ragut nyawa


Ravin Palanisamy Kalidevi Mogan Kumarappa

Tangkap layar video yang tular menunjukkan seorang lelaki tidak berbaju dipukul sekumpulan individu di Jalan Telawi 3, Bangsar. – Gambar Facebook, 13 Mac, 2021.

SEORANG remaja maut dan seorang lagi cedera parah apabila dua kumpulan bergaduh di berdekatan kawasan kejiranan Bangsar, Kuala Lumpur awal pagi ini, kata polis.

Ketua Polis Brickfields Annuar Omar berkata polis percaya pergaduhan yang berlaku bermotifkan balas dendam.

“Kami telah mengenalpasti lima suspek dan kini mencari mereka. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302/326 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Video pergaduhan itu tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki diserang sekumpulan individu dan hanya menggunakan topi keledar untuk mempertahankan diri.

Satu lagi rakaman menunjukkan seorang individu cuba membantu seorang remaja yang cedera.

Annuar berkata kejadian itu berlaku di kawasan belakang Jalan Telawi 3 (belakang Affin Bank) selepas mangsa keluar dari sebuah pub.

Mangsa mengalami kesan kelar dan tikaman. Rakannya yang cuba membantu turut diserang dan mengalami kecederaan di kepala.

Sementara itu, penasihat Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya Mumtaz Ali berkata penduduk rasa terganggu dan bimbang dengan kejadian itu.

Beliau berkata kejadian seperti itu perlu diberi perhatian dan penduduk bimbang jika berlaku lagi insiden yang sama.

“Nanti mungkin ada orang awam yang bersama keluarga dan kanak-kanak, terperangkap dalam kejadian seperti ini,” katanya.

Mumtaz berkata pembangunan komersial yang terlalu pesat di kawasan itu menjejaskan tahap keselamatan dan ketenteraman penduduk.

“Ini bukan kali pertama berlaku di sini. Ada lagi kejadian lain.”

Mumtaz menggesa pihak berkuasa lebih proaktif dan menangani kejadian yang sama daripada berulang.

Beliau berkata kejadian itu berlaku berhampiran sebuah pondok polis. – 13 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen