Kisah di sebalik bendera putih berkibar di kawasan mewah Bangsar


Noel Achariam

BUKAN semua bendera putih adalah rayuan untuk makanan, ada bantuan lain yang rakyat perlukan, kata Ahli Parlimen Pantai Fahmi Fadzil dan persatuan penduduk.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight mereka bertemu beberapa bendera putih yang dikibarkan di kawasan Lembah Pantai, termasuk di kejiranan mewah di Bangsar, tetapi bukan semuanya mengharapkan bantuan makanan.

Kebanyakan daripadanya adalah warga emas yang memerlukan pelbagai bantuan, termasuk meminta tolong untuk mendaftarkan aplikasi MySejahtera dan membelikan barangan keperluan harian.

Minggu lalu, ramai yang beri perhatian apabila Fahmi di Twitter berkata bendera putih dikesan di Lucky Gardens, Bangsar.

“Ramai fikir penduduk di Bangsar semuanya senang. Label ‘Gelembung Bangsar’ merugikan ramai warga emas di sini yang bertahan hanya dengan pencen.

“Tidak perlu malu untuk angkat bendera putih. Sabar kejap Pakcik S, kami ada di sini untukmu,” katanya di Twitter selepas membantu warga emas berkenaan.

Fahmi menjelaskan berkenaan keadaan Pakcik S.

“Kenapa Pakcik S memasang bendera putih ialah kerana beliau tidak ada akses terhadap teknologi, beliau seorang warga emas, tinggal sendirian dan takut hendak keluar rumah kerana kes jangkitan yang tinggi.

“Untuk daftar MySejahtera pun, jirannya yang bantu. Warga emas ini memang perlukan bantuan.

“Ia bantuan yang berbeza. Fenomena bendera putih ini secara keseluruhan menunjukkan kelemahan dalam masyarakat kita.

“Di sebalik setiap bendera putih ada kisahnya dan bukan semestinya semua perlukan bantuan makanan. Ada yang memerlukan bantuan lain dan kita perlu dengar cerita mereka,” katanya.

Fahmi berkata bukan semua orang yang memerlukan bantuan, memasang bendera putih kerana kebanyakannya mahu kekal merahsiakan keadaan mereka.

Ini adalah keluarga yang tinggal dalam masyarakat yang memerlukan susu, lampin pakai buang, barangan runcit dan benda lain.

Ahli Parlimen Pantai Fahmi Fadzil berkata ramai warga emas di Bangsar tinggal sendirian dan perlukan pelbagai bantuan sepanjang PKP, dan kadang-kala ia bukan dalam bentuk makanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2021.

Presiden Persatuan Penduduk Lucky Garden Ahmad Nordeen Salleh berkata kebanyakan yang tinggal di kawasan itu adalah warga emas.

Beliau berkata mereka tidak terjejas teruk tetapi takut hendak keluar rumah (kerana jumlah kes yang tinggi).

“Ada antara mereka yang tidak boleh keluar kerana takut dan perlukan bantuan untuk beli makanan. Orang terlalu ramai di sekitar kawasan Bangsar.

“Ada juga dalam kalangan mereka yang ada masalah kesihatan dan takut hendak keluar.”

Fahmi berkata ada antara penduduk tinggal sendirian dan persatuan penduduk sedia membantu dan mengendalikan masalah penduduk yang datang kepada mereka untuk minta pertolongan.

Bulan lalu, pengguna media sosial menggesa sesiapa yang memerlukan bantuan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk menaikkan bendera putih di luar rumah mereka, dan sesiapa juga digesa memberikan bantuan jika mereka nampak bendera ini.

Mesej ini dimuat naik di Twitter dan Facebook dengan tanda palang #RakyatJagaRakyat dan #BenderaPutih, sebagai tanda orang ramai makin bengang terhadap kerajaan, yang beberapa kali melanjutkan PKP tanpa kepastian bila ia akan berakhir.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata tidak perlu untuk sesiapa pun mengibarkan bendera putih bagi mendapatkan bantuan kerana kerajaan menyediakan bantuan kepada kumpulan sasar.

“Tidak perlu gantung bendera putih atau hitam, tetapi ok untuk gantung bendera biru,” kata Muhyiddin, merujuk kepada warna Perikatan Nasional iaitu biru. – 20 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen