Peguam pertimbang antara hak tidak divaksin dan keselamatan masyarakat umum 


Raevathi Supramaniam

Setakat ini, hanya mereka yang berada dalam perkhidmatan awam diwajibkan untuk mengambil vaksin Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2021.

SEBARANG undang-undang untuk memaksa orang yang belum divaksin menerima suntikan vaksin Covid-19 bertentangan dengan hak kebebasan peribadi, namun pihak berkuasa juga harus mengambil langkah untuk menjaga kesihatan orang ramai, kata peguam.

Begitu juga dengan majikan berhak untuk memberhentikan pekerja yang tidak menerima vaksin sekiranya terbukti membahayakan orang lain di tempat kerja.

Pengarah Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) Fahri Azzat berkata tiada undang-undang yang mewajibkan vaksin, sama ada vaksin Covid-19 atau protokol vaksin heksavalen untuk bayi.

“Ketika ini tidak ada undang-undang untuk memaksa orang untuk mengambil vaksin Covid-19. Dari segi anak-anak, ada cara untuk mendorong ibu bapa melakukannya (memberi vaksin kepada anak-anak mereka), ”katanya kepada The Malaysian Insight.

Berdasarkan pengalamannya sendiri mendaftar kelahiran anak-anaknya, beliau mendapati Jabatan Pendaftaran Negara tidak akan mendaftarkan kelahiran anaknya sekiranya ibu bapa tidak menunjukkan kad vaksinasi.

Malah kaedah ini menimbulkan persoalan kesahihan kerana tidak ada undang-undang khusus yang memaksa ibu bapa memvaksinasi anak-anak mereka, kata Fahri.

“Melainkan jika ada undang-undang khusus yang menjadikannya satu kesalahan untuk tidak mengambil vaksin, itu adalah lingkungan autonomi mereka.

“Untuk menjadikannya wajib, saya tidak tahu apakah ini adalah perkara yang baik. Ia sesuatu yang rumit. Sesuatu yang memerlukan lebih banyak pertimbangan.”

Setakat ini, hanya mereka yang berada dalam perkhidmatan awam diwajibkan untuk mengambil vaksin Covid-19, dengan pengecualian hanya kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan. 

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan polisi vaksinasi untuk penjawat awam pada 18 Oktober, yang melibatkan tindakan tatatertib atau pemberhentian kerja sekiranya penjawat awam menolak vaksinasi tanpa alasan perubatan. JPA berkata keputusan ini dibuat untuk meningkatkan keyakinan masyarakat dan memastikan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan dengan lancar.

Hampir 98% daripada 1.6 juta penjawat awam telah divaksin, sementara 16,902 atau 1.6% belum mendaftar untuk vaksin.

Bagi penduduk yang lain, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan akan mengambil pendekatan tegas terhadap mereka yang enggan menerima vaksin, dengan ‘terus mengenakan pelbagai kesukaran’ terhadap mereka.

Hanya individu yang diberi vaksin sepenuhnya - 14 hari selepas dos kedua untuk vaksin dua dos dan 28 hari untuk satu vaksin satu dos - yang dibenarkan untuk makan di premis, perjalanan rentas negeri, pergi bercuti, antara lain.

Selain mengenakan pelbagai kesukaran, Khairy berkata ada kemungkinan mereka (yang enggan mengambil vaksin) akan diminta membuat ujian mengikut kekerapan tertentu, yang biayanya perlu ditanggung sendiri. 

Beliau bagaimanapun mendapat kritikan oleh pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim yang mendesak kerajaan menggunakan akal dan bukannya ancaman dalam meyakinkan golongan yang tidak divaksinasi.

Sementara itu Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) berkata kenyataan Khairy bahawa kerajaan “akan menyusahkan hidup” mereka yang tidak mahu divaksin adalah tindakan membuli rakyat yang memilih untuk tidak divaksin. – 21 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen