KJ guna cara sombong terhadap antivaksin, kata Anwar


Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata fokus sekarang adalah memberi suntikan kepada mereka yang ingin divaksin, bukannya mengugut antivaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2021.

PENDEKATAN tegas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin terhadap rakyat yang tidak mahu divaksinasi Covid-19 tidak boleh diterima, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau berkata sepatutnya kerajaan tingkatkan kesedaran tentang kelebihan dan faedah vaksin terhadap mereka yang menolak vaksinasi Covid-19.

“Kumpulan antivaksin ini, saya tidak sokong, tetapi kadang-kadang hujah mereka ada kuat juga.

“Jadi kita jawab dengan hujah. Dia (mereka yang tolak vaksin) bagi kajian saintifik. Kita bawa hujah kajian saintifik yang lebih kuat untuk mematahkan hujah dia.

“Jangan dok fikir nak pakai hukum, ugut, hukum. Ini cara sombong yang kita tak boleh terima. Tak kena bila guna cara ugutan. Saya tidak setuju,” kata ahli Parlimen Port Dickson pada majlis perasmian Wisma SP Care di Hulu Selangor hari ini.

Semalam, Khairy berkata kerajaan akan “terus menyusahkan hidup” rakyat yang tolak vaksin Covid-19.

“Maaf saya katakan, kalau anda tidak mahu menerima vaksin atas pilihan sendiri, jadi kita akan buatkan hidup anda sukar dan ia akan berterusan begitu.

“Tidak boleh makan di restoran, tidak boleh ke pusat beli-belah, dan kita juga akan keluarkan Strategi Ujian Nasional minggu depan… ada kemungkinan mereka (yang enggan mengambil vaksin) akan diminta membuat ujian mengikut kekerapan tertentu, yang biayanya perlu ditanggung sendiri. Pesanan ini adalah untuk meminta supaya anda mengambil vaksin,” katanya.

Anwar berkata fokus sekarang adalah memberi suntikan kepada mereka yang ingin divaksin, bukannya mengugut antivaksin.

Bagaimanapun, beliau berkata mereka yang menolak vaksin tidak salah dari segi undang-undang.

“Selesaikan dulu yang mahu terima vaksin. Yang sedikit itu (yang tolak vaksin) kita harus dekati mereka dan cuba beri penerangan.

“Tidak mudah. Undang-undang tidak menyatakan mereka salah. Jadi macam mana kita nak buat tekanan dalam keadaan undang-undang yang kata dia tak salah. Itu nombor satu.

“Keduanya, pendekatan kita ini pendekatan merayu, memujuk, memberi penjelasan, memberi penerangan dan memberi jawapan kerana kumpulan antivaksin ini kerana kadang-kadang hujah mereka kuat juga,” kata Anwar.

Sebelum itu, Anwar telah merasmikan upacara di Wisma SP Care di Antara Gapi sebagai tanda penghargaan kepada lebih 150 kakitangan yang telah bekerja di 12 klinik SP Care sepanjang pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui dan pengasas SP Care, Dr Sathia Prakash Nadarajan antara yang hadir dalam majlis tersebut. – 17 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen