Pelbagai kesulitan nanti mereka yang enggan divaksin, kata menteri


Kementerian akan mengeluarkan Strategi Ujian Nasional minggu depan, kata Khairy. – Gambar Facebook, 16 Oktober, 2021.

KERAJAAN akan mengambil pendekatan tegas terhadap mereka yang enggan menerima vaksin, dengan ‘terus mengenakan pelbagai kesukaran’ terhadap mereka, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun katanya, bagi yang tidak dapat divaksin atas alasan kesihatan, mereka tidak menghadapi apa-apa kesulitan kerana mereka akan diberikan pengecualian digital MySejahtera.

“Maaf saya katakan, kalau anda tidak mahu menerima vaksin atas pilihan sendiri, jadi kita akan buatkan hidup anda sukar dan ia akan berterusan begitu.

“Tidak boleh makan di restoran, tidak boleh ke pusat beli-belah, dan kita juga akan keluarkan Strategi Ujian Nasional minggu depan… ada kemungkinan mereka (yang enggan mengambil vaksin) akan diminta membuat ujian mengikut kekerapan tertentu, yang biayanya perlu ditanggung sendiri. Pesanan ini adalah untuk meminta supaya anda mengambil vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program 11th National Acute Myocardial Infarction Course anjuran Hospital Selayang di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu Khairy berkata, individu yang memerlukan dos penggalak bagi memenuhi syarat ditetapkan negara tertentu untuk memasuki negara berkenaan, termasuk melakukan umrah, boleh membuat permohonan kepada kementerian kesihatan menerusi aplikasi MySejahtera dan dos itu dijangka akan diberikan bermula bulan ini.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya sedang berusaha dan berbincang dengan negara itu supaya tidak ada amalan diskriminasi vaksin.

“(Contohnya) Tidak perlulah pengunjung dari Malaysia mengambil vaksin sekali lagi untuk ke UK (United Kingdom) tanpa kuarantin… anggaplah semua vaksin, sekurang-kurangnya yang disenarai sebagai penggunaan pada masa kecemasan di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah sama.

“Macam UK, mereka sedang menimbangkan permohonan kita, diharapkan mereka akan bersetuju dan sama juga dengan Arab Saudi… tapi apa pun kita akan berikan dos penggalak itu, namun penyelesaian yang mudah dan lebih baik adalah supaya tiada diskriminasi dari segi jenama vaksin,” katanya.

Sementara itu Khairy berkata, beliau akan berusaha mewajibkan beberapa bangunan tertentu dilengkapi dengan alat defibrilator luaran automatik (AED).

Katanya, beliau akan berbincang dengan kementerian berkaitan serta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mengenai perkara itu kerana ia membabitkan pindaan kepada undang-undang kecil, dan menurutnya beliau juga akan membawa perkara itu ke kabinet.

Tanpa menyatakan tempoh waktu yang disasarkan, katanya ia akan dimulakan di bangunan kerajaan terlebih dahulu sebelum diikuti bangunan lain.

“AED perlu dipamerkan (di bangunan) dan kita perlu melatih seramai mungkin, mereka yang berkebolehan untuk menjadi pihak pertama merawat kes serangan jantung secara tiba-tiba di tempat kejadian, kerana ketika ini kita lihat ramai individu yang terkena serangan jantung tidak dapat diselamatkan kerana tidak sempat dibawa ke hospital,” katanya. – Bernama, 16 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen