Pengarang Malaysia layak terima Hadiah Nobel Kesusasteraan


Naim Al-Kalantani

SETIAP tahun pada Oktober, Akademi Sweden akan mengumumkan pemenang Hadiah Nobel yang dianggap anugerah paling berprestij dalam bidang masing-masing.

Tahun ini, anak kelahiran Tanzania, Abdulrazak Gurnah dinobatkan sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2021. Ia bererti, sekali lagi merampas peluang pengarang dari Malaysia untuk pertama kali dijulang sebagai pemenang.

Saban tahun pertanyaan yang muncul ialah bila lagi pengarang dari negara ini akan mencatat nama dalam senarai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan?

Adakah pengarang Malaysia tidak layak menerima Hadiah Nobel kategori tersebut dan apakah cabaran terbesar yang menghalang pengarang kita untuk duduk sebaris dengan penulis dunia yang pernah muncul sebagai pemenang ini?

Adakah mutu karya sastera kita masih rendah dan tidak bertaraf dunia? Atau, tidak ada usaha menyeluruh pelbagai pihak untuk mengangkat sastera Malaysia ke peringkat global melalui pelbagai usaha seperti penterjemahan dan sebagainya ke meja juri Akademi Sweden?

Pengarang Turki, Ferit Orhan Pamuk, penerima Anugerah Nobel Kesusasteraan 2006 dalam pidato sempena penganugerahan tersebut pernah menyatakan, “Penterjemahan merupakan faktor utama yang membolehkan karya saya berada di meja Jawatankuasa Hadiah Nobel.

“Karya saya tidak hanya diterjemahkan ke Bahasa Inggeris, tetapi pelbagai bahasa utama dunia. Jika karya saya hanya dalam bahasa Turki, saya percaya, pembaca di seluruh dunia tidak akan mengenali siapa Ferit Orhan Pamuk. Saya juga tidak mungkin layak untuk diangkat sebagai penerima anugerah ini.”

Apa yang dimaksudkan Pamuk ialah peranan proses penterjemahan ini sangat penting dalam memperluaskan ruang pasaran dan jangkauan karya beliau yang ditulis dalam bahasa Turki, sama seperti penerima anugerah tersebut sejak 1901 (penerima pertama ialah Sully Prudhomme (1839-1907) dari Perancis).

Di sebalik kejayaan Pamuk dan 98 pengarang dari negara yang bukan berbahasa Inggeris (hanya 23 pengarang berbahasa Inggeris dari Amerika Syarikat dan United Kingdom meraih Hadiah Nobel Kesusasteraan), apakah faktor yang membolehkan karya mereka memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan?

Laporan Juri Hadiah Nobel menyatakan, karya Pamuk mengetengahkan lambang baharu yang mendekatkan dikotomi antara dunia Barat dan Timur. Namun, laporan tersebut dibuat setelah menilai semua karya beliau yang diterjemahkan.

Adakah karya Pamuk cukup sempurna dalam pelbagai aspek seperti kekuatan tema, kemantapan garapan atau kekuatan bahasa yang luar biasa? Atau, mungkin Pamuk mendapat sokongan yang besar daripada institusi atau pertubuhan kesusasteraan di negaranya atau pihak lain yang berada di belakang tabir Akademi Sweden?

Berdasarkan statistik 2006, hanya sekitar 100 juta orang daripada 7.5 bilion penduduk dunia yang berbahasa Turki. Namun, kekuatan karya Pamuk atau semua penulis yang pernah menerima Nobel Kesusasteraan dari negara bukan berbahasa Inggeris, disokong industri penterjemahan, selain aktiviti birokrasi, organisasi, promosi, dan pemasaran sastera yang berada di sekeliling mereka.

Novel Pamuk seperti My Name is Red (1998) misalnya, diterjemahkan ke lebih 40 bahasa, manakala karyanya seperti Snow (2002), Black Book (1990), Secret Face (1992), New Life (1995) dan The Others Colour (1999) turut diterjemahkan ke lebih 30 bahasa utama dunia.

Memang kejayaan Pamuk lahir daripada ramuan dan tema yang cukup kuat, khususnya dalam usaha menonjolkan universalisme, selain merapatkan dikotomi Barat-Timur dalam hampir kesemua karyanya. Tetapi karya-karya Pamuk tidak mungkin melangkah jauh jika tidak disokong oleh industri penterjemahan seperti yang diakuinya.

Contoh lain ialah karya penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 1998, Jose Saramago dari Portugal. Novelnya, Blindness yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris pada 1997 (tajuk asal ialah Ensaio Sobre a Cequeira) cukup kuat untuk pemilihan Akademi Sweden.

Sama seperti karya beliau sebelum itu, The Gospel to Jesus Christ (1991) yang turut menjadi perhatian dunia kerana diterjemahkan ke bahasa utama dunia. Tidak mungkin karya Saramago menjadi khazanah sastera dunia jika hanya dibaca sekitar 220 juta penduduk dunia yang berbahasa Portugal (statistik 2020).

Jika kekuatan karya dan garapan yang menjadi ukuran, sastera Malaysia juga memiliki pengarang berkaliber yang bertaraf dunia. Sebenarnya, mutu karya bukanlah satu-satunya kriteria utama Akademi Sweden.

Banyak cabaran dihadapi Malaysia untuk mengusung calon ke akademi tersebut. Kita perlu akur dengan syarat ditetapkan akademi iaitu karya calon mestilah diterjemahkan ke bahasa utama dunia iaitu Inggeris, Perancis, Sepanyol, Mandarin, Belanda, Portugis, Jerman dan Itali. Di sini perlu dinilai dengan melihat sejauh mana penterjemahan karya bermutu sasterawan Malaysia?

Pengarang Malaysia sebenarnya sangat layak untuk dibawa ke Akademi Sweden. Namun, beberapa pendekatan holistik dan kompetitif perlu dimainkan pelbagai pihak terutama kerajaan dan persatuan penulis.

Kewangan bakal menjadi salah satu kunci utama dalam isu ini. Jika tidak ada peruntukan yang sewajarnya untuk pelbagai kegiatan kesusasteraan terutama penterjemahan, ia akan menghambat usaha untuk menduniakan sastera Malaysia.

Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, tidak ditekankan secara langsung bidang penterjemahan karya sastera tempatan ke bahasa asing, melainkan sebaliknya.

Sudah sewajarnya, institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) diberi dana khusus untuk menterjemah karya pengarang Malaysia bukan saja ke dalam bahasa Inggeris, malah ke bahasa yang menjadi syarat Akademi Sweden.

Ketika pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada tahun lalu, peruntukan terbesar 15.6% (RM50.4 bilion) dari seluruh perbelanjaan kerajaan diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sebahagian besar tertumpu pada infrastruktur dan fizikal untuk kemudahan pendidikan seperti pembinaan, perluasan dan penambahbaikan kemudahan persekolahan. Mungkin daripada peruntukan tersebut, DBP dan ITBM dapat digazetkan dana khusus untuk aktiviti penterjemahan dan pelbagai kegiatan promosi karya sastera Malaysia ke peringkat global.

Pendanaan tersebut sangat penting terutama untuk aktiviti penterjemahan, termasuk pelantikan ejen persuratan (literary agents) tempatan dan antarabangsa yang berfungsi sebagai medium untuk memperkenal, mempromosi dan memasarkan karya oleh pengarang sastera Malaysia dengan pelbagai pendekatan.

Antaranya, penganjuran seminar antarabangsa sastera Melayu, penganjuran festival sastera dan pesta buku Malaysia di peringkat global dan membantu menterjemah karya tempatan ke bahasa utama dunia.

Selain ITBM dan DBP yang digerakkan dana kerajaan, terdapat banyak penerbit menterjemahkan karya khususnya karya luar negara kepada bahasa Melayu. Namun, penerbit ini juga dapat berfungsi sebagai ejen persuratan dan kita perlu melangkah idea lebih jauh, penerbit atau orang perseorangan yang berketerampilan perlu didanai kerajaan untuk kegiatan penterjemahan karya bermutu ke bahasa asing.

Misalnya, Pauline Fan seorang penterjemah karya sastera yang berkelulusan sarjana sastera Jerman dari Universiti Oxford. Beliau banyak menterjemah karya luar ke Bahasa Melayu. Permata seperti inilah kita perlu rangkul kemas dengan mendanai mereka sebagai ejen persuratan untuk menterjemah karya Bahasa Melayu ke bahasa asing, lebih-lebih lagi bahasa diperakui juri Nobel Kesusasteraan.

Prof Dr Henri Chambert-Loir dari Ecole Francaise d’Extreme-Orient, Perancis dalam sebuah seminar di DBP tidak lama dulu, melontarkan pendapat yang sangat menarik:

“Tidak mungkin sastera Malaysia dan Nusantara dikenali hingga ke Akademi Sweden jika hanya diterjemahkan ke Bahasa Inggeris atau sekadar tiga hingga empat bahasa lain. Kita tidak boleh berasa kuat apabila menulis dalam tema-tema sejagat atau mengupas persoalan yang merentas etnik atau sempadan agama, jika karya kita tidak diterjemahkan.”

Beliau berpendapat, di Malaysia banyak penulis yang lahir daripada ruang geografi, kebudayaan, etnik, pendidikan dan agama yang bersifat multibudaya. Malah, negara ini dan Nusantara menjadi pusat kolonialisme dan pertembungan hegemoni Barat dan Timur hingga sangat kaya dengan tema besar yang dapat diketengahkan ke dalam karya fiksyen yang diperlukan oleh warga sastera dunia.

Bukan tidak ada penulis yang menggarapnya. Pengarang Indonesia, Pramoedya Ananta Toer (1925-2006) pernah menulis dengan begitu teliti dan memukau dalam tetralogi Bumi Manusia (1980-1988) dan Arus Balik (1995). A. Samad Said (Malaysia) dalam novel Salina (1961) atau Hujan Pagi (1987) turut memperlihatkan satu impak daripada budaya barat dan imej kolonialisme dalam masyarakat Melayu selepas Perang Dunia Kedua.

Namun, karya besar A. Samad itu tidak diterjemahkan ke dalam banyak bahasa sebagaimana karya Pamuk atau penerima lain anugerah tersebut. Hasilnya dapat diduga – sastera Malaysia dan Nusantara tidak mampu bergerak jauh. Apa lagi untuk meraih Anugerah Nobel selain terpaksa berhadapan dengan karenah Barat di sebalik anugerah itu.

Menurut Chambert-Loir, menterjemah karya sastera Nusantara ke bahasa asing mungkin boleh memberi peluang dan ruang kepada pengarang Malaysia untuk menjadi penerima Nobel Kesusasteraan.

Garapan dalam pelbagai genre oleh Shahnon Ahmad, Usman Awang, Anwar Ridhwan, Ahmad Kamal Abdullah, Muhammad Haji Salleh dan beberapa penerima anugerah Sasterawan Negara, selain penulis-penulis generasi muda tanah air, sebenarnya cukup kuat dalam pelbagai aspek untuk diketengahkan ke Akademi Sweden.

Namun, beliau berpendapat, Malaysia tidak mengangkat ke dalam ruang global secara menyeluruh melalui pelbagai pendekatan yang sepatutnya boleh membantu mengangkat imej sastera negara ini ke meja penjurian Akademi Sweden seperti penterjemahan karya, promosi dan pemasaran sastera yang efisien.

Aspek lain yang perlu diberi perhatian besar dalam memastikan sastera memasuki arus global ialah isu-isu birokrasi dalam penerbitan, penterjemahan, promosi dan pemasaran karya. Ia antara lain melibatkan strategi, pendekatan dan kaedah yang lebih cekap sejajar dengan perkembangan semasa – khususnya Revolusi Industri 4.0.

Perkembangan teknologi ini, wajar dimanfaatkan oleh kerajaan, penerbit, pengarang dan penterjemah untuk memperluaskan cakerawala pemasaran serta promosi sastera Melayu dan Malaysia.

Isu birokrasi dalam aspek lain ialah kesepakatan antara semua pengarang, penerbit, penterjemah dan ejen persuratan untuk mempromosi dan mengangkat tokoh tertentu yang dianggap memiliki prospek yang terbaik untuk diketengahkan ke meja penjurian Akademi Sweden. Antara kriteria pemilihan calon ialah kekuatan karya, anugerah yang diterima dan penterjemahan karya seseorang pengarang.

Pramoedya Ananta Toer misalnya, melontarkan pendapat yang agak sinis. Katanya, “Bukan sastera kita (Nusantara) tidak kuat tetapi birokrasi dan orang yang ada di sekitar kita lebih kuat untuk tidak menyokong atau menolak calon bagi Anugerah Nobel. Selagi wujud pertembungan tidak langsung ini, jangan fikir kita boleh meraih anugerah (Nobel) walaupun ia bukan ukuran kekuatan sebenar seseorang penulis.”

Mungkin Pramoedya mengambil contohnya beliau secara peribadi. Beliau dicalonkan sebagai penerima Anugerah Nobel sejak penghujung 1980, selepas beberapa tahun dibebaskan dari penjara di Pulau Buru, Makassar.

Namun, penglibatannya dalam Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra), bahagian kebudayaan dalam Parti Komunis Indonesia (PKI) tidak dilupakan oleh pengarang sastera lain negara itu. Pramoedya tidak pernah mendapat sokongan, malah pencalonannya turut dibantah penulis Indonesia sendiri.

Pengarang Malaysia juga sama seperti penulis dari negara dunia lainnya. Semuanya tetap mempunyai peluang dan ruang yang sama untuk diangkat sebagai penerima Anugerah Nobel Kesusasteraan.

Namun, kerajaan, persatuan penulis, pengarang sendiri dan pihak lain tidak boleh berpeluk tubuh dengan hanya menunggu untuk melihat bila seorang pengarang dari Malaysia akan dianugerahkan gelaran berprestij tersebut.

Usaha yang praktikal dan menyeluruh perlu digerakkan terutama dalam bidang penterjemahan karya, penganjuran seminar antarabangsa kesusasteraan Malaysia, promosi dan pemasaran karya serta pelantikan ejen persuratan yang berwibawa.

Dalam bidang pendidikan negara misalnya, kepentingan sastera perlu disemat dalam minda anak sejak bangku sekolah lagi untuk membina kekuatan dalam pengkaryaan. Meskipun, kita mahu menggapai Anugerah Nobel, tidak bermakna kita hanya melihat kuman di Sweden tetapi gajah di Malaysia kita lupakan permasalahannya. – 16 Oktober, 2021.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen