Orang ramai mengeluh terpaksa menunggu 2 bulan dapatkan janji temu dengan JPN


Raevathi Supramaniam

Orang ramai perlu membuat janji temu bagi sebarang urusan dengan pihak JPN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2021.

RAKYAT Malaysia yang ingin mendaftarkan perkahwinan, kelahiran dan kematian terpaksa menunggu hampir dua bulan sebelum dapat membuat temu janji di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kata mereka yang mengalami masalah ini.

Tempoh menunggu yang lama disebabkan tunggakan akibat beberapa perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan untuk mengekang penyebaran Covid-19.

Prosedur operasi standard (SOP), terutama mengenai penjarakan jarak sosial dan berhimpun, juga meminimumkan jumlah orang yang boleh diterima oleh jabatan dalam sehari, menyebabkan lebih banyak kelewatan.

Jayavaruman Subramaniam, 31, ingin mendaftarkan perkahwinannya di JPN tetapi diberitahu tiada slot sehingga tahun depan.

“Saya menghubungi JPN pada awal Ogos untuk mendapatkan beberapa maklumat dan diberitahu agar membuat janji temu secara dalam talian. Ketika saya memeriksa, tiada slot yang kosong pada Ogos dan tarikh paling awal adalah 26 September,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Pada 26 September, saya pergi ke UTC (Pusat Transformasi Bandar) di Pudu, menghantar borang yang diperlukan dan menerima surat pengakuan daripada pendaftar yang membolehkan saya mendaftarkan perkahwinan saya.

“Tetapi kerana tiada slot kosong di JPN hingga tahun depan, saya perlu menggunakan pendaftar swasta di pejabat Hindu Sanggam Malaysia.”

Beliau diberitahu tunggakan itu disebabkan JPN memberi keutamaan kepada perkahwinan yang terpaksa ditangguhkan kerana PKP dan juga pematuhan ketat terhadap SOP.

Orang bukan Islam boleh memilih untuk mendaftarkan perkahwinan mereka di pejabat JPN atau melalui pendaftar swasta yang biasanya melibatkan organisasi agama.

Pilihan lain masih memerlukan temu janji di platform MyJanjiTemu JPN untuk menghantar borang yang diperlukan.

Pemeriksaan oleh The Malaysian Insight hari ini untuk slot temu janji di pejabat JPN di Putrajaya menunjukkan slot seterusnya adalah pada 12 Disember.

Panggilan ke talian hotline JPN juga mengesahkan tarikh paling awal adalah pada Disember. Ini disebabkan oleh banyaknya orang yang mempunyai urusan dengan jabatan.

Segala masalah berkaitan pendaftaran dan pembaharuan kad pengenalan, perkahwinan, perceraian, kematian, kewarganegaraan dan urusan anak angkat perlulah melalui JPN.

Begitu juga yang berlaku kepada Nur Bahiyah, 35, seorang ahli perniagaan yang terpaksa menunggu hampir dua bulan untuk mendaftarkan kelahiran anaknya yang dilahirkan semasa PKP kedua pada Mac tahun lalu.

“Saya bersalin pada 10 April 2020 dan terpaksa menunggu hampir dua bulan sebelum dapat membuat temu janji di pejabat JPN Putrajaya,” katanya.

Pada masa itu, terdapat juga kekeliruan mengenai apakah dibenarkan sesi tanpa janji temu atau tidak, katanya.

“Suami saya pergi ke Putrajaya tetapi diberitahu perlu membuat janji temu. Ia benar-benar leceh dengan sekatan jalan raya dan sebagainya.

“Walaupun ada orang yang beratur di luar dengan harapan dapat mengambil slot mereka yang tidak hadir, suami saya tidak mahu mengambil risiko dijangkiti.”

Bayi baharu lahir mesti didaftarkan di JPN dalam tempoh 30 hari. Bagaimanapun, disebabkan PKP dan juga kekurangan slot temu janji, JPN memberi lanjutan masa.

Seorang lagi individu yang bercakap dengan The Malaysian Insight dengan syarat tidak mahu namanya disebutkan berkata sukar mendapat janji untuk menyelesaikan sijil kematian ayahnya.

“Ayah saya meninggal dunia pada 8 Februari tahun ini, tetapi saya hanya dapat membuat temu janji pada April. Seluruh proses selepas anda berada di sana cukup lancar, tetapi mendapatkan janji temu adalah cabaran sebenar,” katanya.

Beliau gembira kerana membuat janji temu dan bukannya secara “walk-in” apabila barisan panjang di UTC Pudu.

“Saya menunggu tidak sampai dua jam untuk selesaikan semua urusan. Orang yang sama beratur di depan sekali ketika saya sampai masih ada apabila saya selesai. Mereka yang beratur langsung tidak bergerak.

“Mereka yang datang tanpa janji temu juga tidak dibenarkan menunggu di dalam, jadi ada yang mungkin akan beratur berjam-jam,” katanya, sambil menambah mereka yang pandai membawa kerusi lipat sendiri untuk duduk.

Notis di laman web janji temu JPN sekarang memberitahu bagi urusan sijil kematian, mereka boleh datang tanpa janji temu kerana kematian diklasifikasikan sebagai kecemasan. – 15 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen