Perak benarkan majlis nikah di hotel, dewan komuniti mulai 5 Mac


Jabatan Agama Islam Perak bagaimanapun menetapkan jumlah kehadiran yang dibenarkan hanya 50% daripada kapasiti premis dan tidak melebihi jumlah maksimum 250 orang. – Gambar AFP, 2 Mac, 2021.

JABATAN Agama Islam Perak (JAIPk) membenarkan majlis akad nikah dilaksanakan di dewan hotel atau dewan komuniti serba guna, berkuat kuasa Jumaat ini.

Pengarah JAIPk Mohd Yusop Husin berkata bagaimanapun jumlah kehadiran yang dibenarkan hanya 50 peratus daripada kapasiti premis dan tidak melebihi jumlah maksimum 250 orang.

Menurutnya, jumlah kehadiran itu termasuk Penolong Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ Negeri Perak (PPNCR), wali pengantin, pengantin lelaki dan perempuan serta dua orang saksi.

“Majlis turut dibenarkan di masjid dan surau dengan kebenaran pengerusi masjid dan surau berkenaan serta Pejabat Agama Islam Daerah dengan kebenaran Pegawai Tadbir Agama Daerah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Pendaftar atau PPNCR bertanggungjawab memastikan perkara ditetapkan dipatuhi iaitu rukun nikah, membaca Ta’liq selepas Majlis Akad Nikah, tiada berjabat tangan ketika lafaz ijab kabul serta menjaga jarak sekurang-kurangnya satu meter oleh setiap hadirin.

Katanya pihak pengantin turut bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pematuhan semua peraturan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian kesihatan serta pelanggaran mana-mana peraturan yang berkuat kuasa.

“Majlis itu boleh ditangguhkan atau dibatalkan Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah atau PPNCR sekiranya tatacara terbaharu ini tidak dipatuhi atau arahan daripada Ketua Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ Negeri Perak,” katanya. – Bernama, 2 Mac, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen