Majlis kahwin, mesyuarat dan seminar dibenarkan, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

Majlis perkahwinan, pertunangan dan sebagainya yang dibenarkan kepada pasangan beragama Islam juga diperluaskan kepada yang beragama lain, kata Ismail Sabri Yaakob.– Gambar EPA, 2 Mac 2021.

PUTRAJAYA membenarkan semua acara sosial seperti majlis perkahwinan, pernikahan, sambutan ulang tahun, mesyuarat dan seminar, tetapi mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat, kata Ismail Sabri Yaakob.

“Majlis perkahwinan, pertunangan dan sebagainya yang dibenarkan kepada pasangan beragama Islam juga diperluaskan kepada yang beragama lain.

“Kehadiran di kawasan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) adalah 50 peratus daripada keluasan premis, manakala di kawasan PKPP (Perintah Kawalan PergerakanPemulihan) mengikut keluasan premis.

“Yang penting ada  dengan penjarakan fizikal,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri sebelum itu mengumumkan status PKP di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang ditukar kepada PKPB mulai 5 hingga 18 Mac.

Status PKPB di Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak pula kekal, manakala status PKPB di Melaka, Pahang, Terengganu, Putrajaya, Labuan ditukar kepada PKPP. – 2 Mac, 2021.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen