Susah ajak rakyat mengundi dalam PRN Melaka, menurut tinjauan


Raevathi Supramaniam

Papan iklan dengan gambar bekas Adun Sungai Udang,Idris Haron dilihat di kawasannya di Pantai Kundor, Melaka. Menurut Ilham Centre, rakyat kini sudah muak dengan kemelut politik dan selepas beberapa siri sekatan pergerakan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2021.

PARTI politik berhadapan cabaran sukar untuk mengajak pengundi keluar menyatakan suara mereka di peti undi dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka nanti, kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar.

Ini berikutan kurangnya rasa teruja pengundi yang sudah terkesan akibat beberapa siri sekatan pergerakan susulan krisis kesihatan Covid-19, kata badan kaji selidik itu.

Selain itu, kemelut politik berpanjangan di peringkat persekutuan yang menyaksikan kejatuhan Pakatan Harapan (PH) setelah 22 bulan dan pemerintahan Muhyiddin Yassin selama 17 bulan membuatkan rakyat bosan dengan politik.

“Cabaran utama bagi semua parti politik yang bertanding dalam PRN Melaka adalah membangkitkan keterujaan di kalangan pengundi bagi memastikan mereka keluar dan mengundi,” kata Hisommudin kepada The Malaysian Insight.

“Melihat trend ketika ini, dengan Covid-19 dan krisis politik yang berpanjangan, rakyat sudah muak dan ini boleh menyebabkan turunnya peratusan pengundi.”

Menurut data dari kaji selidik itu, segmen pengundi terbesar di negeri ini adalah kaum Cina, pengundi luar dan golongan muda.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 84 peratus penduduk di negeri ini keluar mengundi.

Kumpulan inilah yang memenangkan PH, katanya.

“Penurunan jumlah pengundi akan mempengaruhi semua pihak dan oleh itu sukar untuk cakap siapa yang ada peluang baik di Melaka.

“Namun, jika ketiga-tiga kumpulan yang disebutkan di atas tidak keluar mengundi, ada kemungkinan Barisan Nasional (BN) muncul sebagai pemenang,” kata Hisommudin.

Pada 6 Oktober, empat Adun Melaka mengumumkan penarikan sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Empat Adun itu ialah bekas ketua menteri Idris Haron (Sg Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Tindakan itu bermaksud Sulaiman kini disokong oleh 12 Adun (satu dari Bersatu, selebihnya BN), sementara pembangkan ada 15 Adun (11 PH, dua BN, satu Bersatu dan satu bebas). Dewan Undangan Negeri Melaka mempunyai 28 kerusi.

Yang diPertua Melaka Mohd Ali Rustam membubarkan DUN selepas dinasihati Sulaiman, sekali gus membuka jalan untuk mengadakan PRN dalam 60 hari akan datang.

Namun, pengkritik meminta darurat diisytiharkan kerana bimbang PRN itu akan menyebabkan satu lagi gelombang Covid-19 seperti yang berlaku semasa PRN Sabah tahun lepas.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata Putrajaya menunggu titah Timbalan Yang Di-Pertuan Agong sebelum putuskan sama ada laksana darurat berhubung PRN di Melaka.

Selain tidak adanya rasa teruja, Hisommudin berkata sejak PRU 2018 yang lalu, telah terjadi perubahan drastik dalam demografi pengundi di Melaka.

“Tidak ada sempadan jelas antara kawasan pedalaman, pinggir bandar dan bandar di negeri ini kerana semuanya dekat antara satu sama lain.

“Urbanisasi juga dengan cepat mengubah demografi ini dengan ketara. Ini bermaksud kepantasan maklumat kini sampai ke kawasan-kawasan ini jauh lebih cepat.

“Jika ada pertembungan tiga penjuru, ini akan bagi kelebihan kepada PH. Namun, jika parti-parti Melayu bersatu, BN dan Perikatan Nasional akan ada peluang yang lebih baik untuk memimpin negeri ini.”

Seperti sekarang, Hisomuddin berkata terdapat 12 DUN majoriti Melayu.

Daripada 18 kerusi yang dimenangi Umno pada pilihan raya lalu, 12 kerusi mempunyai 70 peratus Melayu, katanya.

11 kerusi lagi terdiri antara 51 peratus dan 69 peratus pengundi Melayu dan selebihnya lima adalah kawasan majoriti bukan Melayu.

“Berdasarkan keputusan PRU14, BN cuma hilang satu kerusi di kawasan majoriti Melayu. Ia hilang Telus Mas kepada PKR.

“Di kawasan majoriti campuran dan kawasan dominan Cina, mereka cenderung ke arah PH. BN cuma menang dua kerusi di kawasan ini daripada 11.

“Di kawasan yang didominasi Cina, DAP tidak dapat dibandingkan dengan MCA atau Gerakan.”

Dari segi undi popular, PH dapat lebih banyak undi berbanding PAS dan BN dalam pilihan raya lalu, mendapat 51 peratus atau 213,993 undi daripada sejumlah 417,884 undi.

“BN berada di tempat kedua dengan 38 peratus (158,729) sementara selebihnya 11 peratus pergi ke PAS yang mendapat 45,162 undi.”

“Kerusi marginal - kerusi dimenangi dengan majoriti kurang dari 1,000 undi menurut Ilham - merangkumi sembilan dari 28.

“Dari sembilan, tiga berada di kawasan PH sementara enam dari BN.” – 11 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen