Kerajaan tunggu Istana Negara laksana darurat atau PRN di Melaka, kata PM


Elill Easwaran

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan menunggu keputusan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong sama ada laksana darurat berhubung pilihan raya negeri di Melaka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2021.

PUTRAJAYA menunggu titah Timbalan Yang Di-Pertuan Agong sebelum putuskan sama ada laksana darurat berhubung pilihan raya negeri (PRN) di Melaka, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, perjumpaan akan diadakan antara Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Taklimat akan dibuat dalam beberapa hari ini. Bila selesai, kabinet akan buat keputusan minggu depan,” kata Ismail Sabri kepada media selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Kabinet bermesyuarat awal hari ini namun tidak membuat sebarang keputusan mengenai pelaksanaan darurat untuk Melaka, tambahnya.
 
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 5 Oktober selepas empat Adun pada Isnin menarik sokongan terhadap ketua menteri Sulaiman Md Ali, sekali gus menyebabkan beliau hilang majoriti DUN.

Speaker Abd Rauf Yusoh yang mengumumkan pembubaran itu berkata keputusan tersebut dibuat selepas Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam mendapat nasihat Sulaiman.

Pilihan raya negeri Melaka perlu dibuat dalam tempoh 60 hari dari pembubaran DUN.

Namun, ada permintaan agar Yang Di-Pertuan Agong campur tangan, dan supaya darurat diisytiharkan di negeri itu bagi menangguhkan pilihan raya negeri berikutan pandemik Covid-19 masih belum reda. – 8 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen