Zunar lapor polis penyokong Umno, PAS palsukan kartun


Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Alhaque membuat laporan polis terhadap penyokong Umno dan PAS yang mencuri dan memalsukan karya kartun politiknya. – Gambar Facebook, 28 September, 2021.

KARTUNIS Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Alhaque membuat laporan polis terhadap penyokong Umno dan PAS yang mencuri dan memalsukan karya kartun politiknya.

Beliau membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Daerah Polis Brickfields, hari ini.

“Laporan itu berhubung dengan kecurian dan pemalsuan karya kartun saya oleh penyokong Umno dan PAS.

“Saya adalah pemegang hak cipta tunggal kepada kartun saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Laporan polis itu menamakan seorang individu yang memakai nama Fairosmohamme dan lima pengurus sebuah kumpulan sembang di platform WhatsApp atas nama “UmnoPas Jom Ranapkan PH”.

Zunar mendakwa mereka bertanggung jawab mencuri dan memalsukan tiga karyanya.

“Saya mahu pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu berkenaan,” katanya, yang turut menyerahkan nombor telefon mereka kepada polis untuk disiasat.

Dalam pada itu, Zunar juga menimbang untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap mereka kerana melanggar hak ciptanya mengikut Akta Hak Cipta 1987.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak yang tampil memberi maklumat ini kepada saya.

“Saya sedang berbincang dengan peguam,” tambahnya. – 28 September, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen