Zunar ingatkan Putrajaya 2 lagi komik masih diharamkan


Noel Achariam

Kartunis satira politik Zunar mendesak Putrajaya menarik balik pengharaman ke atas dua komik yang dikenakan oleh kerajaan BN sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2019.

KARTUNIS satira politik Zunar mendesak Putrajaya menarik balik pengharaman ke atas dua komik yang dikenakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Komik ”Pirates of the Carry BN” and “The Conspiracy to Imprison Anwar” diharamkan pada 2014.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque, berkata beliau belum memutuskan sama ada akan mencabar pengharaman itu di mahkamah.

Kartunis itu sebaliknya berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menarik semula arahan itu seperti yang dilakukan ke atas satu lagi komik beliau, “Sapuman: Man of Steal” pada Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, masih ada lagi komik beliau yang dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) semasa pentadbiran BN, katanya.

Zunar berkata beliau menunggu KDN memulangkan semula 1,000 naskhah komik “1Funny Malaysia” and “Perak Darul Kartun” yang dirampas pada 2010.

Selepas mencabar pengharaman itu di mahkamah, Mahkamah Rayuan pada 2014 mengarahkan supaya larangan ke atas dua komik berkenaan ditarik balik.

“Oleh kerana mahkamah mengarahkan larangan ke atas dua komik itu ditarik balik, saya gesa kerajaan pulangkannya semula,” kata Zunar.

Beliau juga berharap 480 naskhah “Gedung Kartun” yang dirampas pada 2009 dipulangkan semula.

“Saya tidak cabar di mahkamah untuk buku-buku itu, tetapi saya harap dipulangkan.”

Ketika pentadbiran BN, 11 buah buku Zunar diharamkan kerana didakwa melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan berbaur hasutan.

Komik “Pirates of the Carry BN” memaparkan kerajaan BN seperti lanun filem Hollywood “Pirates of the Caribbean”.

Bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor disamakan dengan watak antagonis “Kapten Jib Spa-rob”.

Zunar, yang menang beberapa anugerah antarabangsa kerana mengangkat isu hak asasi manusia menerusi karyanya, berkata sesebuah buku tidak patut diharamkan hanya kerana pihak berkuasa tidak menyukai kandungannya.

“Kerajaan tidak boleh menggunakan tafsirannya sendiri untuk mengharamkan komik. Ia tidak boleh diharamkan hanya kerana kerajaan tidak suka kandungannya.

“Itu tidak patut kerana semua orang ada interpretasi sendiri.

“Jika ada sesiapa tersinggung dengan kartun saya, saman saya,” kata Zunar. – 20 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen